Noraisyah Abu Bakar

Sehubungan itu, semua pihak termasuk pengusaha ikan hiasan, pemilik akuarium dan orang ramai digesa memberi kerjasama supaya tidak melepaskan 34 jenis ikan yang dikategorikan sebagai berbahaya ke perairan umum.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, antara ikan yang dikategorikan sebagai ikan kanibal ini adalah keli Afrika, ikan buaya, arapaima, flower horn dan banyak lagi yang boleh mengganggu ekosistem ikan tempatan.

Menurutnya, pertambahan jumlah ikan kanibal itu menjadi dominan dan mengganggu ikan tempatan seperti lampan, terubul, siakap putih, puyu dan udang galah yang menjadi sumber pendapatan nelayan sungai.

“Kita akan laksanakan program kesedaran dalam kala­ngan pengusaha ikan hiasan atau kolam ternakan ikan ini supaya tidak sewenang-wenangnya melepaskan ikan larangan ke sungai atau perairan umum.

“Mereka sebaliknya boleh hubungi jabatan perikanan untuk kita ambil ikan ini dan diletakkan di tempat yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis Taklimat Ikan Larangan Import serta Ikan Larangan Dilepaskan di Perairan Umum, di sini sema­lam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Yusoff Mohd. Noor.

Noraisyah berkata, pihaknya juga pernah membuat inventori ikan di Sungai Perai beberapa tahun lalu dan mendapati ikan keli Afrika amat dominan di kawasan itu sehingga menyebabkan kepupusan ikan tempatan.

Dalam pada itu, Muhammad Yusoff berkata, industri akuakultur sama ada di laut atau kolam darat menyumbang pendapatan sebanyak RM655 juta di negeri ini tahun lalu manakala industri ikan hiasan pula menyumbang sebanyak RM23 juta.

Namun, katanya, masalah ikan asing itu jika tidak dita­ngani dengan baik boleh me­ngundang masalah kepada pendapatan negeri serta merugikan generasi akan datang.

“Di kawasan saya iaitu Su­ngai Korok dan Sungai Kreh, pendapatan nelayan sungai terjejas apabila ada pihak yang melepaskan ikan keli Afrika ke dalam sungai sehingga memusnahkan anak-anak ikan serta benih udang galah.

“Masalah juga timbul daripada tindakan pihak yang ‘lepas niat’ untuk upacara keagamaan dengan melepaskan ikan asing ini ke sungai atau perairan umum menyebabkan menjadi dominan,” katanya.