ZAINAL ABIDIN OSMAN

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang sebaliknya perlu bersedia menggunakan dana sendiri lebih-lebih lagi daripada penjualan tanah milik kerajaan negeri yang aktif dilakukan sebelum ini.

Malah, beliau turut mengingatkan kerajaan negeri boleh mengambil sebahagian kecil daripada kos lebih RM46 bilion untuk melaksana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bagi projek mitigasi banjir.

“Berbanding PIP, projek mengatasi masalah banjir ini lebih mendesak kepada rakyat yang tidak lagi mampu menanggung kemusnahan harta benda kerana dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

“Jika diambil 10 peratus daripada peruntukan PIP itu sekalipun sudah memadai ke­rana apa guna negeri ini mempunyai sistem pengangkutan awam moden sekiranya ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak boleh berasa selesa dengan pengumuman peruntukan RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat untuk me­ngatasi masalah banjir itu kerana masih bergantung kepada kemampuan kewangan negara dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Abidin berkata, pihaknya sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diwakili pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat keutamaan membabitkan 13 projek mitigasi banjir di negeri ini seperti diumumkan baru-baru ini.

“Perlu diingat projek ini bukan boleh disiapkan segera. Banyak perkara perlu dilihat dan banyak prosedur perlu dilalui.

“Kita juga tidak mahu me­laksanakan projek ini secara tergesa-gesa kerana bimbang tidak mampu menyelesaikan masalah banjir seperti diharapkan,” katanya.