PERMATANG PAUH 16 Mei – Sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan sekolah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Jaya Noraini Jaafar terkejut apabila disambut oleh murid dengan sejambak bunga sambil menerima ucapan Selamat Hari Guru.
Noraini berkata, beliau tidak menyangka Kelab Kebajikan Guru sekolah itu melakukan kejutan untuk semua guru dengan memberi sejambak bunga pada awal pagi ini.
“Saya memang tidak dimaklumkan langsung tentang program pada hari ini dan amat teruja apabila disambut oleh guru dan murid.
“Semua guru terharu dengan sambutan ini dan rasa dihargai biarpun amat ringkas dan teruja dengan kesungguhan murid yang sanggup beratur di pintu masuk sekolah dalam keadaan hujan,” katanya di sini hari ini.
Lebih manis, program itu turut disertai Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said dan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Abu Bakar Sidekh Zainol Abidin.
Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, pihaknya turut menganjurkan Sambutan Hari Guru peringkat daerah Seberang Perai Tengah bagi meraikan 2,060 guru dari 35 sekolah.
“Jika tahun lepas kita hadiahkan kek hari lahir kepada semua guru tetapi tahun ini, kita buat kelainan dengan memberi hadiahkan sepasang kain.
“Kita harapkan dengan sumbangan ini memberi motivasi kepada guru untuk berkhidmat lebih tekun dan bersemangat demi mendidik anak bangsa,” katanya.