Lebih memilukan, Fatimah Baharum, 59, yang mengharap so­kongan suaminya untuk meneruskan hidup turut kehilangan tempat bergantung apabila suaminya itu, Allahyarham Azmi Ali turut me­ninggal dunia hanya 19 hari selepas kehilangan Nur Syazana.

Menurut Fatimah, meskipun sedih dengan dugaan yang cukup berat itu, namun dia pasrah dan reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Saya amat terkesan dengan kehilangan dua insan tersa­yang dalam masa yang singkat. Arwah anak yang baik dan saya hanya mengetahui dia menghidap SLE beberapa minggu sebelum kehilangannya.

“Saya akan simpan ijazah ini sebagai kenangan dan akan sentiasa mendoakan kedua-dua arwah anak dan suami ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah SWT,” kata ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Sementara itu, anak sulung Fatimah, Nor Azira Azmi pula berkata, dia kagum dengan semangat ibunya dan menyifatkannya sebagai seorang wanita yang cukup tabah.

“Saya dan adik-adik sentiasa bersama ibu bagi memastikan dia gembira dan tidak terlalu memikirkan ujian Allah ke atas, kami sekeluarga. Ibu tetap kuat dan tenang menghadapi segala yang telah berlaku,” ujarnya.

Allahyarham Nur Syazana dianugerahkan Ijazah Anumerta (Sarjana Muda Sains Gunaan) sempena Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-56 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Ijazah Allahyarham disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan majlis itu turut dihadiri Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.