Semalam seramai 36 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Kesayangan Pulau Pinang dan Rumah Permata Kasih, Taman Pauh Jaya dibawa menaiki bas itu yang dihias dengan rekaan eksklusif dinamakan Hop On Media dan Bon Zainal.

Mereka mengikuti rombo­ngan menyerahkan 100 pek nasi beriyani ayam yang merupakan hidangan istimewa di hotel itu ke ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah serta Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda.

Pengurus Besar Hotel The Light, Raj Kumar berkata, program tersebut merupakan kali kedua pihaknya bekerjasama dengan SP Arena dan Elang Wah Sdn. Bhd. namun pada kali ini menampilkan kelainan dengan memberi peluang anak-anak yatim merasai pengalaman menaiki bas pelancongan dua tingkat.

“Kita akan jadikan pengisian program ini sebagai acara tahunan kerana dengan adanya bas pelancongan ini lebih ramai anak yatim dapat hadir ke program berbuka puasa.

“Pada tahun ini kita meraikan lebih 230 anak-anak yatim di negeri ini dengan menganjurkan majlis berbuka puasa sejak lima hari lalu yang berakhir hari ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan SP Arena, Ekhwan Abdul Rasid berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memberi peluang pihaknya memperkenalkan bas pelanco­ngan yang selama ini digunakan di bahagian pulau.

Seorang anak yatim, Nurul Muflihah Shahariman, 16, berkata, pengalaman menaiki bas sebelum berbuka puasa di Hotel The Light tidak akan dilupakan.

“Sebelum ini setiap kali melihat bas itu di jalan raya, saya sentiasa memasang impian untuk menaikinya kerana sering melihat pelancong luar negara menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Saya berasa sungguh gembira dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberikan kejutan kepada kami dalam satu majlis berbuka puasa yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.