Pertanyaan itu sering menjadi dilema kepada belia pada masa ini kerana khuatir tidak mampu bersaing dengan kehendak pasaran semasa.

Mungkin fikiran kita terlalu fokus bahawa kejayaan itu merujuk kepada seorang yang berpakaian kemaja lengkap dengan tali leher dan memandu kereta besar ke pejabat-pejabat megah di ibu kota.

Pandangan skeptikal itu sama sekali berbeza dengan Muhammad Afiq Syazwan Mohd. Zamri, 22, yang menjalankan perniagaan apam balik mini di sekitar negeri ini dengan menggunakan food truck.

Dia yang hanya mampu ber­puas hati dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak pernah berasa gagal malah mencari peluang untuk membahagiakan diri dan keluarga.

Baginya, tidak berpeluang me­lanjutkan pendidikan ke tahap tinggi bukan alasan untuk seseorang terus mengeluh dan berse­rah dengan ‘nasib’ yang kononnya tidak berpihak kepada mereka.

Sebaliknya, kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bungah dekat sini itu, semua orang perlu meletakkan diri pada satu tahap sasaran sebelum menentukan sebanyak mana usaha yang diperlukan untuk mencapai kejayaan.

“Kalau kita belajar setakat itu sahaja (SPM), usaha kita perlu lebih dan jangan sesekali samakan kita dengan orang yang ada pendidikan tinggi.

“Sebenarnya, kita juga boleh berjaya, percayalah bahawa rezeki itu datang daripada Allah SWT,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Muhammad Afiq ditemui ketika menjadi antara 30 peniaga food truck dalam karnival anjuran Vouk Hotel Suite di sini baru-baru ini.

Dia ditemani bapa, Mohd. Zamri Othman, 48, dan ibu, Shahruzaini Md. Udin, 41, serta dua adik perempuannya yang turut menjual pelbagai jenis buah potong.

Ketika diminta mengulas perniagaannya, dia berkata, perniagaan apam balik mini itu dijalankannya setiap hari selama 12 jam bermula pukul 2 petang di sekitar pantai Batu Feringghi dan Padang Kota Lama.

“Alhamdulillah, saya boleh memiliki pendapatan kasar sekurang-kurangnya RM800 setiap hari dan mampu meraih lebih daripada itu pada musim cuti.

“Hendak dapatkan duit, hendak puaskan diri, kita tidak boleh fikir penat. Lepas dapat duit nanti, hilanglah penat itu lebih-lebih lagi bila dapat berikannya kepada ibu, bapa dan adik-adik,” jelasnya.

Muhammad Afiq berkata, kebolehan berniaga yang dimilikinya itu dipelajari daripada ibu saudara yang turut menjalankan perniagaan sama di Teluk Kumbar.

“Resipi apam balik ini pun saya baru belajar empat bulan lalu da­ripada ibu saudara dan saya gunakan pengalaman bekerja sambilan di beberapa hotel sebagai penyedia makanan dan minuman,” jelasnya.