Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, kerajaan negeri juga berhasrat memberi anugerah menerusi Jabatan Kesihatan negeri kepada restoran yang mengambi langkah itu kerana menyokong usaha kerajaan.

Dalam masa sama, beliau melahirkan penghargaan kepada rangkaian restoran Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. yang menjadi restoran nasi kandar pertama di negara ini menghentikan jualan rokok menjelang hujung tahun ini.

“Kita memuji langkah diambil syarikat nasi kandar terkemuka itu dan berharap ia dicontohi pengusaha restoran makanan lain.

“Dalam masa sama, kita berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membuat pertimbangan untuk melarang sepenuhnya jualan rokok di restoran kerana langkah itu menjadi pertanyaan ramai pihak,” katanya selepas mengetuai sekumpulan pegawai Jabatan Kesihatan ne­geri meninjau operasi restoran nasi kandar Pelita dekat Taman Chai Leng di sini semalam.

Sehingga kini, Jabatan Kesihatan negeri mengadakan lawatan ke atas 1,604 premis dan mengeluarkan kira-kira 1,278 notis amaran terhadap pengusaha restoran berhubung larangan merokok berkenaan.

Afif berkata, beliau menyambut baik penerimaan positif daripada masyarakat berhubung larangan merokok di restoran bermula 1 Januari lalu yang rata-rata­nya menganggap pelaksanaan itu adalah tepat.

“Media sosial juga nampaknya sangat membantu sehinggakan kita melihat ada hasil dalam kempen larangan merokok ini,” katanya.