Ini kerana, Pemangku Ketuanya, Jason Loo berkata, reka bentuk yang seolah-olah untuk kegunaan hotel itu bertenta­ngan dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Georgetown yang telah diwartakan kerajaan negeri pada Ogos tahun lalu.

Menerusi Jadual C2.1: Jadual Aktiviti-aktiviti yang Tidak Dibenarkan di bawah Kategori Hotel dalam RKK, katanya, kerajaan negeri menggariskan pembinaan hotel baharu dalam Tapak Warisan Dunia hanya boleh dibangunkan di tiga zon ia­itu Pesisir, Perniagaan serta Pelancongan dan Santai.

“Ketiga-tiga bangunan warisan ini terletak di zon Khas dan Kewangan, jika dakwaan penduduk tentang pembinaan hotel itu benar, kerajaan negeri perlu jelaskan mengapa mereka melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan itu juga untuk membuktikan mereka memelihara warisan yang telah menerima penarafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2008,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dakwa Jason, sebuah syarikat dari Singapura, Region (M) Investment Private Limited merupakan pemaju yang mengendali dan mengubah suai kedai serbaneka bernombor 66 di Lebuh Ge­reja dan dua rumah bernombor 7 dan 9 di Lebuh King dipercayai untuk industri perhotelan.

Dalam masa sama, menurut Jason, tindakan kerajaan negeri bukan sahaja bertentangan dengan usaha UNESCO memelihara warisan di negeri ini tetapi seolah-olah memperdaya lebih 1.6 juta rakyat yang memberi kepercayaan tersebut.

“Kerajaaan negeri kononnya mewartakan RKK untuk memberi kuasa kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memantau pengurusan mapan bangu­nan warisan di kawasan Geogetown tetapi mereka dilihat melanggar undang-undang tersebut.

“Tindakan itu juga telah menyebabkan peniaga perhotelan yang baru ingin memu­lakan perniagaan itu keliru untuk membangunkan hotel kerana tiada garis panduan jelas untuk pembinaannya,” jelasnya.