Abdul Hameed Abdullah, 50, percaya ketiadaan GST bukan sahaja menyenangkan orang ramai, malah peniaga sepertinya juga beroleh manfaat yang sama.

“Kos pengangkutan termasuk minyak petrol dan kos barang mentah yang akan turun memungkinkan kami menjual barangan dengan harga yang lebih berpatutan kepada pelanggan,” katanya yang membantu saudaranya menjual nasi lemak di bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang yang terletak di Le­buh Queen, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Aminah, 40, pula berharap agar peniaga tidak lagi mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati apabila GST dihapuskan kelak.

“Kalau boleh, harga barangan yang dijual terutamanya makanan dan kuih-muih biarlah berpatutan dan tidak melampau khususnya di bazar Ramadan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meluangkan masa hampir setengah jam untuk meninjau suasana di sekitar bazar tersebut sambil mengambil kesempatan beramah mesra dengan pengunjung di situ.

Yang turut hadir, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader.

Menurut Kon Yeow, bazar Ramadan anjuran Liga Muslim di Lebuh Queen mampu menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing yang melalui kawasan itu kerana lokasinya yang strategik serta mudah disinggahi orang ramai.

Bazar Ramadan yang terletak di Lebuh Queen itu menempatkan keseluruhan 32 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan khususnya juadah untuk berbuka puasa termasuk nasi ayam, nasi lemak, kuih-muih tradisio­nal dan moden serta pelbagai jenis minuman.