S. M. MOHAMED IDRIS
S. M. MOHAMED IDRIS

Aktiviti itu dijalankan dengan kerjasama warga Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Convent di sini serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, pengedaran beg-beg kain itu dilakukan sebagai simbolik untuk menggalakkan orang ramai agar tidak lagi menggunakan beg plastik yang secara umumnya diketahui telah membawa masalah kepada alam sekitar ketika ini.

Katanya, sebagai contoh, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang melancarkan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik Percuma’ pada bulan Julai 2009 dan pelaksanaan ini dikenakan kepada beberapa premis perniagaan, namun, pengecualian masih diberikan bagi para peniaga di pasar awam serta penjaja.

“Disebabkan itu, kita masih melihat banyak beg plastik di persekitaran kerana beg-beg plastik ini mudah ditiup angin seterusnya menjadi sumber pencemaran yang besar di lautan.

“Pada masa yang sama, ia juga menimbulkan masalah utama di daratan termasuk men­jadikan longkang ter­­sumbat dan me­nyum­bang kepada kejadian banjir kilat,” katanya.

Justeru, S. M. Mohamed berkata, langkah pertama bagi mengatasi masalah itu ialah pengguna perlu membawa beg yang boleh digunakan semula.

Dalam hal ini katanya, beg kain terbuat dari baju-T lama adalah terbaik kerana percuma, boleh dibasuh dan digunakan semula.

“Untuk membeli barangan basah seperti daging atau ikan pula, pengguna boleh membawa bekas mereka sendiri manakala pasar raya juga perlu membenarkan pelanggan untuk membawa beg mereka untuk membeli sayur-sayuran dan tidak lagi mengeluarkan beg plastik nipis untuk setiap barang yang dibeli se­perti yang diamalkan sekarang,” ujarnya.

Tambah S.M. Mohamed, pengharaman beg plastik juga perlu dijalankan secara lebih menyeluruh iaitu ke seluruh negara se­perti yang dilakukan oleh kerajaan Rwanda yang mengharamkan pengimportan, penghasilan, penggunaan dan penjualan beg plastik serta pembungkusan plastik, kecuali dalam industri tertentu seperti hospital dan farmaseutikal.

“Kehidupan tanpa beg plastik adalah sesuatu yang mungkin se­perti yang berlaku di negara-negara yang telah mengenakan larang­an ketat terhadap perkara ini.

“Jadi, tidak ada alasan lagi dan sudah tiba masanya kita me­nyingkirkan beg plastik sekali guna ini untuk kebaikan semua,” katanya.