Seketika kemudian, bunyi mesin mengetam kayu mula membingitkan suasana bengkel itu dan habuk kayu berterbangan memenuhi segenap ruang.

Tidak jauh dari situ, pemilik bengkel berkenaan, Mohd. Fa­dzli Mohd. Saad, 34, dengan penuh perhatian melihat kertas lakaran rekaan perabot yang ditempah pelanggan sambil matanya turut mengamati lakaran visual pada skrin komputer riba.

Bercerita kepada Utusan Malaysia berkenaan ‘dunia’ kayunya itu, Mohd. Fadzli berkata, dia kini sibuk menyiapkan tempahan pe­rabot oleh sebuah butik pengantin di Selangor yang berminat untuk menggunakan bahan-bahan berasaskan kayu palet pine sebagai hiasan.

Katanya, setiap tempahan di­terima biasanya memerlukan masa selama dua minggu untuk disiapkan dan bergantung kepada jenis rekaan.

“Syarikat saya iaitu Pakar Pinewood bukan hanya mengambil upah menghasilkan perabot seperti dikehendaki pelanggan malahan kami turut mengubah suai kediaman atau premis perniagaan, menghantar pesanan serta memberi khidmat nasihat dekorasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di bengkelnya, di sini baru-baru ini.

Memulakan perniagaan pada 2014 dengan modal sendiri sebanyak RM5,000, Mohd. Fadzli berkata, dia gembira kerana kini semakin mendapat kepercayaan pelanggan yang inginkan sen­tuh­an Pakar Pinewood.

Menurutnya, dia menyedari minat orang ramai terhadap hia­san atau perabot berasaskan kayu pine ini menerusi Facebook dan kebetulan mempunyai kema­­­­­­hi­­­­­­­­­­­­­­r­an pertukangan sebelum berani mengambil tempahan.

“Pelanggan pertama saya ialah sebuah kedai vape yang inginkan perabot dan kaunter kedainya berkonsepkan kayu pine dan selepas menjadi viral, semakin banyak tempahan diterima,” katanya.

Selepas lebih tiga tahun ber­operasi, Pakar Pinewood turut mendapat kepercayaan pelanggan korporat termasuk Wisma Negeri Kedah, Muzium Pulau Pinang, beberapa kolej swasta, puluhan butik dan kafe.

Ketika ini, jelasnya, tempahan yang diterima bukan hanya dari utara malah pelanggan dari Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Kelantan yang turut tertarik dengan hasil kerja pertukangannya.

Dalam pada itu, lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Kolej Komuniti Kepala Batas itu turut mengakui ketika awal penubu­­­­­­h­an syarikat berkenaan, dia tidak terkecuali berhadapan dugaan du­­­nia per­­­niagaan.

Ketika itu, katanya, bekalan untuk mendapatkan kayu pine agak sukar kerana tidak banyak kilang menghasilkannya, namun cabaran itu kini dapat diatasi kerana mempunyai jaringan luas untuk mendapatkan stok kayu tersebut.

Sementara itu, Mohd. Fadzli berkata, Pakar Pinewood kini mengorak langkah apabila akan membuka cawangan di setiap negeri dengan menjadikan Se­langor dan Johor sebagai hub di kawasan Lembah Klang dan selatan tanah air menjelang hujung tahun ini.

“Kami mahu memudahkan pelanggan di setiap negeri dan mereka tidak perlu datang ke Pulau Pinang semata-mata mahu membuat tempahan kerana pusat operasi di setiap negeri sudah wujud selepas ini,” katanya.