Namun selepas Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008, dewan itu serta banyak lagi dewan komuniti telah dipindah milik kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN) atau pejabat daerah.

Apa yang menyedihkan beberapa dewan itu gagal dise­lenggara dengan baik sehingga mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat digunakan apabila berlaku sebarang bencana.

Antara dewan banjir yang terbiar usang terletak di Kampung Labuh Banting di sini yang rosak teruk dengan bumbungnya bocor serta tiada bekalan air dan letrik.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, terdapat enam dewan banjir di kawasan parlimen itu iaitu di Desa Puri, Paya Tok Akil, Padang Menora, Lubuk Meriam, Kampung Lebuh Banting dan Ara Kuda.

“Dewan-dewan ini dibina oleh kerajaan BN namun kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menjaga de­ngan baik hingga banyak yang rosak.

“Contohnya di Labuh Banting ini, selain bumbung bocor dan dipenuhi semak samun, bekalan air dan elektrik juga telah dipotong kerana gagal dibayar oleh pihak JKKKN yang sepatutnya menguruskan dewan ini,” katanya.

kepada pemberita di sini semalam.

Tambah Shabudin, keadaan itu menyusahkan penduduk terutama sekiranya berlaku banjir seperti Jumaat lalu yang melibatkan 16 rumah di kampung tersebut selain beberapa kampung lagi di sekitar kawasan Tasek Gelugor.

Jelasnya, mujurlah banjir itu tidak serius kerana keadaan akan menjadi sukar sekiranya penduduk terpaksa berpindah tetapi tiada penempatan yang sesuai.

“Kita amat kesal dengan apa yang berlaku sebab JKKKN terlibat seolah-olah mengabaikan dewan ini dan langsung tiada selenggaraan dibuat yang pastinya membawa masalah kalau berlaku banjir atau kecemasan.

“Saya ingin mendesak pihak terlibat agar segera mengambil langkah membaik pulih dewan ini agar ia dapat digunakan semula oleh penduduk setempat,” ujarnya.