Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sebanyak 4,960 kes demam denggi dicatatkan antara Januari lalu hingga minggu ke-45 tahun ini berbanding hanya 2,273 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Malah, ujar beliau, dalam tempoh dua minggu lalu, sebanyak tiga kes kematian akibat demam denggi berlaku dengan minggu ke-45 mencatatkan kes jangkitan tertinggi tahun ini iaitu sebanyak 190 kes.

Chow Kon Yeow
CHOW KON YEOW

Sehubungan itu, beliau me­ngerahkan sebanyak 123 pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di negeri ini supaya lebih agresif dalam mengawal wabak itu daripada terus merebak.

“Selain itu, saya juga menggesa orang ramai supaya lebih peka dengan keadaan kebersihan di kawasan perumahan masing-ma­sing bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Kesedaran Denggi 2018 peringkat negeri di sini baru-baru ini.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri juga akan terus memperkasa penggunaan teknologi dalam memantau wabak denggi di seluruh negeri ini selain menyelaras usaha-usaha mengawal wabak itu di kawasan berisiko.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Rokiah Mohd. berkata, pe­ningkatan wabak demam denggi di negeri ini adalah berpunca daripada faktor cuaca terutama kerana kekerapan hujan.

Tambah beliau, kekerapan hujan menyebabkan wujudnya banyak kawasan bertakung iaitu habitat utama kepada pembiakan nyamuk aedes.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan negeri telah bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan serta komuniti penduduk bagi memastikan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes ini khususnya dapat dikenal pasti dan dimusnahkan,” katanya.