Itulah ‘keajaiban’ yang dilakukan oleh Mohd. Rodzi Abu Bakar kerana tanpa sebarang pengalaman dalam bidang kulinari atau pengurusan restoran, dia mampu menjadikan Res­toran De Pauh di sini sebagai lokasi tumpuan ramai.

Biarpun dengan latar belakang dalam bidang kejurutera­an, dia mengusahakan perniagaan eksport dan import kulit lembu dan kerbau selepas berhenti kerja daripada perkhidmatan awam.

Dek kerana sering berulang alik ke Indonesia, Mohd. Rodzi tertarik dengan konsep restoran dalam taman yang banyak di­usahakan di sana sehingga mencetuskan idea untuk membuka restoran dengan konsep serupa di sini.

Dengan modal sebanyak RM1.2 juta, Mohd. Rodzi nekad mengusahakan tanah terbiar di Jalan Permatang Pauh dekat sini dan dibangunkan sebuah restoran yang menawarkan pelbagai jenis hidangan masakan barat, Thai, Melayu serta Cina.

Menurut Mohd. Rodzi, biarpun pada awalnya dia berdepan masalah untuk mencari tukang masak, namun restoran itu akhirnya berjaya direalisasikan pada 12 Januari 2012.

“Kini saya memiliki lebih 100 pekerja termasuk dari Thailand dan Indonesia serta menumpukan tiga cabang bisnes iaitu restoran di sini, kantin hospital serta perkhidmatan katering.

“Saya membuka peluang kepada anak-anak muda dari seluruh negara untuk membina kerjaya mereka di sini dan syukur saya memiliki pekerja yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Antara menu yang ditawarkan di restoran itu adalah kari kepala ikan, claypot asam pedas, sizzling dan hot plate, ala carte masakan Thai, makanan laut dan tomyam serta ikan bakar.

De Pauh Garden juga menawarkan masakan barat seperti steak dan burger selain sate se­rta pelbagai hidangan minuman seperti ais kacang, cendol dan ais krim.

Ditanya bagaimana dia berjaya bertahan dalam perniagaan itu, kata Mohd. Rodzi, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) banyak membantu terutama di bawah Jawatankuasa Fokus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera.

Kata Pengarah Urusan De Pauh Garden Restaurant Sdn. Bhd. itu, selepas berada di bawah jawatankuasa tersebut sejak 2015, pelbagai program dilaksanakan bagi membantu usahawan bumiputera sepertinya mengembangkan perniagaan serta membina rangkaian.

“Perda juga membantu menyediakan mesin dan dapur yang memudahkan kerja-kerja di restoran ini serta meningkatkan kecekapan pekerja saya selain mampu mempercepatkan kerja.

“Melalui bimbingan yang disediakan juga kami iaitu usahawan di bawah Perda dapat membina rangkaian serta berkongsi ilmu serta pengalaman bagi membantu usahawan baharu,” katanya.

Mohd. Rodzi juga menasihati usahawan muda yang ingin menceburi perniagaan seperti itu supaya pandai mengambil peluang serta sentiasa mendekatkan diri dengan agensi kerajaan yang menyediakan banyak ruang kepada mereka.

Pada masa sama, katanya, kegigihan serta sentiasa sabar de­ngan cabaran juga perlu menjadi kekuatan setiap usahawan kerana cabaran itulah yang mematangkan mereka.