JASON LOO

Pemangku Ketua Pemuda Ge­ra­kan negeri, Jason Loo mendakwa, sepanjang tempoh itu, sekurang-kurangnya 16 ka­wa­san tanah di negeri ini dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang sama ada kepada pemaju tempatan atau luar negara.

Antara kawasan ter­sebut, dak­wa beliau, termasuk tanah di Taman Manggis, Bayan Mutiara, Batu Kawan, Gurney Drive, Peel A­venue serta beberapa kawasan lain membabitkan keluasan kira-kira 2,178 hektar.

Sambil melahirkan kebim­bang­an dengan fenomena itu, Ja­son menambah, pihaknya tu­rut menerima rungutan pen­du­duk berhubung keluasan ta­nah negeri ini yang semakin menyusut.

“Jika setiap inci tanah ini terus dijual, lama-kelamaan seluruh Pulau Pinang akan ‘tergadai’ dan lebih malang, penduduk negeri ini tidak akan mendapat apa-apa daripada penjualan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Jason bersama Pen­yelaras Kawasan Dewan Un­dangan Negeri (DUN) Batu Lanchang, Peggy Khoo hadir ke Mahkamah Tinggi di sini bagi menguruskan kes tiga saman yang diterimanya daripada Ke­tua Menteri, Lim Guan Eng.

Mengulas mengenai saman tersebut, Jason berkata, beliau akan berbincang dengan pe­guam­nya sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Apa yang pasti, sebagai rakyat Pulau Pinang, saya akan terus bersuara mempersoal kepincangan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang demi mempertahankan hak rakyat.

“Saya percaya rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana dan bila tanah-tanah milik mereka ini dijual oleh kerajaan negeri,” katanya yang turut menggesa lebih ramai generasi muda tampil dalam memperjuangkan hak mereka di negeri ini.

Dalam pada itu, Jason turut memaklumkan beliau mendapat sokongan daripada pemimpin Gerakan lain berhubung saman yang diterimanya.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka mengenai perkara ini dua malam lepas ketika majlis makan malam yang dihadiri oleh pemimpin Gerakan veteran dan mereka menyokong tindakan saya.

“Sebenarnya, kes ini lebih daripada saman yang difailkan Ketua Menteri kepada saya kerana ini melibatkan perjuangan untuk mendapatkan kebebasan bersuara,” katanya.