Sehubungan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited untuk melangkah setapak daripada ciri-ciri fizikal tapak warisan merangkumi keseluruhan persekitaran serta interaksi dengan komuniti di Georgetown.

Ujar beliau, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pendekatan Landskap Bandar Bersejarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengintegrasikan matlamat dalam pemuliharaan bandar warisan serta pembangunan ekonomi sosial.

“Kami melihat warisan bandar sebagai satu aset sosial, budaya dan ekonomi dalam pembangunan bandar, bergerak melangkaui pemuliharaan persekitaran fizikal dan turut memberi tumpuan terhadap persekitaran kehidupan.

“Kami juga akan mengambil kira persekitaran binaan sedia ada, warisan tidak ketara, kepelbagaian budaya, sosioekonomi dan faktor persekitaran bersama-sama de­ngan nilai komuniti setempat.

“Warisan menyatukan kita tanpa mengira latar belakang, budaya dan kepercayaan masing-masing,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun ke-10 Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia yang disambut 7 Julai lalu.

Menurut beliau, kerajaan negeri komited menjadi penjaga terbaik Tapak Warisan Dunia Georgetown serta akan berkongsi pengalaman pahit dan manis dalam menguruskannya dengan masyarakat dunia.

Malah ujar beliau, kerajaan ne­geri juga akan bekerjasama secara proaktif dengan UNESCO, badan penasihat antarabangsa, agensi profesional serta Tapak Warisan Dunia lain bagi menjadikan Georgetown sebagai tapak contoh terbaik.

“Melalui perkongsian ilmu dan idea, kami berharap dapat meningkatkan keupayaan profesional dan penglibatan masyarakat setempat dalam pemuliharaan dan pengurusan warisan budaya kita.

“Sehubungan itu, saya meminta sokongan daripada penduduk negeri ini untuk bekerjasama bersama-sama dan berusaha menjadikan Georgetown sebagai contoh yang terbaik Tapak Warisan Dunia,” katanya.