Sudah pastinya, negeri ini menjadi antara destinasi pelancongan untuk menikmati pelbagai makanan tradisi seperti nasi kandar dan pasembor selain melawat muzium menarik serta Pantai Batu Feringghi.

Tidak lengkap sekiranya mereka pulang dari Pulau Mutiara ini tanpa membawa buah tangan seperti jeruk yang dijual di Pasar Chowrasta di Jalan Pinang di sini yang sememangnya sinonim dalam kalangan pelancong.

Namun, bukan itu sahaja keistimewaan yang dimiliki negeri ini kerana bagi penggemar buku-buku lama, mereka boleh mendapatkan pelbagai koleksi dan judul buku di beberapa kedai buku lama di sekitar ibu negeri, Georgetown.

Malah, pengunjung juga akan berasa teruja serta kagum apabila melihat buku-buku lama dan terpakai yang disusun tinggi kira-kira dua meter di dalam deretan kedai kecil di Pasar Chowrasta, Jalan Pinang di sini.

Keterujaan seperti sedang berada di sebuah perpustakaan lama itu akan membuatkan setiap pengunjung tidak mahu melepaskan peluang singgah dan membeleknya malah ada menghabiskan masa berjam-jam lamanya kerana terlalu asyik dengan koleksi buku yang tersedia.

Sebutlah apa sahaja genre, penulis dan tahun terbitan yang dimahukan, pemilik kedai akan menunjukkan koleksinya dalam masa singkat.

Bukan sahaja terbitan baharu, malah mereka mempunyai naskhah seawal tahun 1924 yang dijual pada harga serendah 50 sen.

Menurut pemilik kedai buku lama itu, Gulam Mohamed Hanifah, 62, perniagaan secara turun-temurun sejak 80 tahun lalu diteruskannya selepas bapa saudara yang juga pemilik asal kedai berkenaan meninggal dunia tujuh tahun lepas.

Sejak itu, katanya, dia yang dibantu anaknya, Muhammad Assalam, 30-an, akan mencari naskhah lama pelbagai bahasa di serata negeri bagi memenuhi kehendak pelanggan sama ada dari dalam ataupun luar negara.

“Ada juga orang yang datang ke kedai atau menghubungi kami untuk menjual buku mereka. Inilah hasilnya, kami ada bermacam-macam genre buku termasuklah politik, agama, cerpen dan akademik serta pelbagai lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Lebih mengagumkan adalah gelagat Gulam yang pada usianya itu masih mampu mengingati tajuk dan kandungan buku selain berupaya menerangkannya kepada pembeli.

Dia juga dilihat tidak kekok mencari buku yang diminta pembeli meskipun naskhah ber­kenaan sudah bertindih-tindih dengan banyak buku yang lain.

“Berniaga macam inilah. Boleh untung tetapi tidak boleh menjadi bukit,” katanya berseloroh sambil menunjuk susunan buku yang turut diletakkan di tingkat atas kedainya di No. A9 Pasar Chowrasta itu.

Buku paling lama di kedai Gulam ialah sastera Inggeris klasik yang diterbitkan pada 1924 selain dia turut menjual buku edisi terhad koleksi gambar lakonan primadona Saloma dan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan harga RM80 hingga RM250.

Sementara itu, seorang lagi penjual, Iskandar Mohd. Ismail, 53, berkata, perniagaannya bermula 26 tahun lalu dengan menjual buku terbitan hampir tujuh dekad.

Katanya, antara buku itu yang bertajuk, A History of English Literature yang ditulis Emile Legouis pada 1926 dan dia mendapatkannya daripada seorang pembaca yang membelinya pada 1953.

“Saya juga ada buku bertajuk Interpreting in Teaching tulisan I. A Richard yang diterbitkan pada 1938 dan Kamus Maktab Ejaan Baharu 1974.

“Kebanyakan buku-buku ini digunakan pelajar dan penuntut universiti ketika itu. Jadi, agak kerap pengkaji bahasa datang ke sini untuk mencari bahan kajian mereka,” katanya yang mempu­nyai hobi membaca.

Bagi ulat buku yang mendambakan naskhah kegemaran mereka boleh berkunjung ke Pasar Chowrasta ketika berada di Pulau Pinang dan kedai buku lama ini beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 8 malam.