Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu dilaporkan hilang oleh pemiliknya selepas tekong berkenaan gagal dihubungi sejak dua hari lalu.

Menurut beliau, bot itu bertolak bersama bot induk dari jeti Pangkalan Bagan Kapur, Kuala Kedah pada 24 Januari lalu kira-kira pukul 3 petang.

Tambahnya, kali terakhir pemilik dapat menghubungi bot itu melalui `walkie talkie’ pada pagi 25 Januari lalu sebelum terputus hubungan pukul 6 petang hari sama.

“Pemilik bot tersebut memaklumkan bot lampu kepunyaannya terpisah dengan bot induk disebabkan keadaan laut dan cuaca yang buruk.

“Bagaimanapun, bot induk yang dinaiki pemilik itu berjaya pulang dengan selamat ke Jeti Bagan Kapur, Kuala Kedah pukul 7 petang 25 Januari lalu, namun bot lampu tersebut gagal dihubungi sehingga kini,” katanya kepada pemberita di sini hari

Menurut beliau, susulan laporan kehilangan bot itu, MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pukul 7.30 pagi tadi.

Katanya, KM Marlin dari Maritim Malaysia Perak dan KD Mahamiru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah ke lokasi terakhir mangsa seterusnya membuat pencarian di sektor SAR yang telah ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE