IBRAHIM ABDUL RAHIM
IBRAHIM ABDUL RAHIM 

Tambah menarik, walaupun harga barangan semakin meningkat, namun di Baen Cafe The Power of Sedekah itu, sebarang jenis air bergula tanpa susu seperti air teh, air anggur serta sirap juga diberikan percuma.


Turut diberikan percuma kepada pelanggan adalah nasi tanpa lauk seperti nasi tomato serta beriyani.


Menurut peniaga berkenaan, Ibrahim Abdul Rahim, 36, dia mula menjual makanan pada harga murah itu minggu lalu iaitu sebanyak 40 ekor ikan cencaru dengan harga 10 sen seekor.


Melihat kepada sambutan pelanggan yang menggalakkan, katanya, dia mengambil keputusan untuk meneruskan jualan 10 sen untuk menu-menu terpilih di kedainya itu.


"Pada hari ini, saya buat jualan ayam goreng mamak dengan harga 10 sen tetapi terhad kepada 40 ketul ayam sahaja dan jualan yang saya panggil jualan 'happy hour' ini bermula pukul 12 tengah hari.


"Saya terpanggil untuk membuat jualan dengan harga begini selepas melihat orang ramai terbeban dengan harga makanan yang semakin tinggi di samping berniat mahu bersedekah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Ibrahim yang telah berniaga sejak 10 tahun lalu berkata, empat tahun lalu dia telah memberikan nasi dan air secara percuma kepada para pelanggan di kedainya dan mendapati rezekinya dalam perniagaan tidak pernah putus.


"Selalu orang akan tanya saya, bagaimana mahu untung kalau saya hanya kenakan caj terhadap lauk yang diambil pelanggan sahaja.


"Kalau ikutkan jual dengan cara begini modal pun susah nak dapat, namun saya yakin, konsep sedekah ini mengundang rezeki dan saya bersyukur kerana pelanggan sentiasa memberikan sokongan kepada perniagaan saya," katanya.


Tambah Ibrahim, jualan makanan 10 sen untuk menu terpilih itu akan diteruskan di kedai makan miliknya kerana sambutan orang ramai yang amat menggalakkan.


"Minggu depan mungkin saya akan jual kari kepala ikan pula dengan harga juga 10 sen," katanya. - UTUSAN ONLINE