Kebanyakan kes sengatan obor-obor yang dilaporkan berlaku di Pulau Langkawi, Kedah itu turut meragut tiga nyawa sekali gus membayangkan ancaman yang dibawanya adalah sangat serius.

Lebih menggerunkan, ancaman obor-obor itu ketika ini bukan hanya dilaporkan di Pulau Langkawi malah spesies akuatik tersebut dikatakan membiak dengan cepat di beberapa lokasi perairan seluruh negara termasuk di pantai sekitar Pulau Pinang.

Menyedari betapa kurangnya pemahaman dan pengetahuan masyarakat terhadap ancaman obor-obor ini, sekumpulan saintis Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mengambil inisiatif mendedahkan perkara berkenaan kepada umum.

Bengkel itu berlangsung di Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM di Teluk Bahang di sini dan diketuai Pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai.

CEMACS bukanlah organisasi asing dalam kajian berkaitan ancaman obor-obor malah ketika ini menerajui kumpulan pakar dan penyelidik dari 10 negara di rantau ini dalam kajian berhubung penyelesaian dan kaedah mengawal serta mengelak kes sengatan haiwan tersebut.

Pemilihan USM itu dibuat badan antarabangsa bagi me­nerajui penyelidikan tersebut dan merangka pelan lima tahun yang lebih komprehensif serta bersedia untuk menangani ancaman sengatan obor-obor yang berbahaya.

Malah, bengkel sehari itu turut dihadiri pakar obor-obor dari Jepun dan Thailand serta pihak yang mempunyai hubungan secara langsung dengan ancaman haiwan tersebut seperti nelayan dan penggiat sukan berasaskan air.

Di perairan Pulau Pinang ketika ini, dua spesies obor-obor berbahaya dikesan membiak dengan cepat iaitu Chirop­soides buitendijki dan Morbakka yang boleh ditemui kira-kira dua kilometer persegi dari laut dan 400 meter dari kawasan pantai.

Sengatan obor-obor itu jika tidak dirawat segera boleh mengakibatkan maut kerana simptom seperti tekanan darah tinggi, sakit belakang melampau, loya, muntah, kekejangan, kesukaran bernafas serta kegagalan jantung.

Sehubungan itu, Aileen berkata, adalah penting untuk semua pihak mempunyai pengetahuan mengenai ancaman obor-obor tersebut terutama dalam memberi rawatan segera bagi mengurangkan risiko maut.

“Antara yang kita kongsi dalam bengkel ini adalah penggunaan cuka atau vinegar yang dilihat kaedah terbaik bagi mematikan dan membantutkan sel-sel bagi mengelak perjalanan bisa sengatan obor-obor me­rebak ke seluruh badan.

“Di sesetengah kawasan, ada juga menggunakan jus bunga seri pagi dan di Pulau Langkawi kaedah popular adalah dengan meletakkan minyak gamat,” katanya ketika ditemui dalam bengkel tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan ramai tidak begitu prihatin de­ngan ancaman obor-obor, maka risiko sengatannya terutama dalam kalangan pengunjung yang mandi di pantai menjadi semakin tinggi.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang papan tanda amaran di kawasan pantai yang dikesan menjadi habitat obor-obor berkenaan.

Sementara itu, pensyarah CEMACS yang juga pakar dalam bidang marin, Prof. Dr. Zulfigar Yasin berharap melalui kajian yang dilakukan USM kelak dapat menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) berhubung langkah yang perlu diambil oleh mangsa dan orang awam ketika berdepan kes sengatan obor-obor.

Malah, beliau turut berharap pemantauan pihak berkuasa tertentu di lautan dapat dilakukan secara berkala bagi mengenal pasti waktu yang sesuai untuk penganjuran sukan air dan waktu pembiakan obor-obor.