Suasana petang Ramadan 3 Oktober 1975 itu tidak mungkin dapat dilupakan peniaga pakai­an, Ridwan Burhannoeddin, 67, kerana rak yang menempatkan barang jualannya hampir roboh disebabkan kedainya yang ha­nya seluas kira-kira empat meter di bazar tersebut diserbu pe­ngunjung.

Ridwan yang ketika itu berusia 25 tahun terpaksa menenangkan pelanggan walaupun dia sendiri hampir ‘rebah’ kerana orang ramai bersesak-sesak ditambah faktor sedang ber­puasa dalam keadaan cuaca yang agak membahang.

Mengimbau kenangan manis ketika itu yang disifatkan sebagai era durian runtuh dalam perniagaannya, riak wajah Ridwan bertukar teruja berkongsi cerita.

“Kamu pernah pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur beberapa hari sebelum raya? Jika ya, itulah suasana di sini pada waktu itu,” katanya memberi gambaran kepada penulis sewaktu ditemui di tapak niaganya di sini baru-baru ini.

Katanya, ketika itu jualan pakaian, selendang dan kain sarung setiap hari mampu mencecah sehingga RM5,000 yang merupakan nilai yang cukup besar pada zaman berkenaan.

Malah, beberapa hari sebelum bulan puasa lagi, kedai-kedai di Bazar Penang sudah menjadi tumpuan penduduk membuat persiapan raya dan berlangsung meriah.

“Minggu terakhir bulan Ramadan merupakan waktu paling sibuk bagi kami kerana selepas subuh masing-masing sudah membuat persiapan menjalankan perniagaan dan kedai hanya akan ditutup menjelang tengah malam,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Aishah Yahya, 60, turut te­­ruja berkongsi sa­at-saat tem­­pat berkenaan di­pe­nu­hi orang ramai menjelang hari le­baran.

Ceritanya, ke­­ti­­ka itu pelanggan bukan hanya penduduk setempat malah ada yang datang dari Tai­ping dan Ipoh, Perak serta Su­ngai Petani dan Alor Setar, Kedah.

“Bazar ini di­­­­anggap sebagai pintu ma­suk untuk pelbagai ko­leksi kain pasang bagi kawasan utara. Oleh itu, tidak hairanlah peniaga dari negeri-negeri jiran memilih mendapatkan stok mereka di sini sekali gus membuatkan keadaan di sini bertambah sesak,” katanya.

Seiring peredaran masa yang menyaksikan banyak kawasan penempatan baharu wujud ke­rana pembangunan pesat yang sedang berlaku kepada negeri ini ketika itu, kemeriahan Bazar Penang mulai pudar.

Aishah berkata, gelombang kebanjiran orang ramai ke situ mulai menurun hujung 1990-an dan bertambah suram awal 2000-an.

“Antara 1970-an hingga 1980-an, peniaga berebut untuk ber­operasi di sini. Jika mereka mende­ngar ada lot kedai bakal kosong, awal-awal lagi sudah ada yang tampil membuat tempahan untuk menyewa malah sanggup membayar sehingga RM25,000 sebagai komitmen awal,” kata­nya.

Namun kata Aishah, keadaan cukup berbeza ketika ini kerana bazar berkenaan semakin hari semakin sepi dan dijauhi orang ramai.

Malah, jelasnya, ada tapak kedai yang sudah kosong sehingga enam tahun namun masih tiada peniaga yang berminat kerana sedar tidak mampu mendapat pelanggan.

“Selain banyak kawasan perniagaan baharu dibuka, ledakan peniagaan secara dalam talian dan pasar pagi yang menjual produk tekstil turut memberi kesan. Tetapi saya tiada pilihan dan perlu kekal di sini walaupun nilai jualan harian kadang-kala sangat rendah,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, ketika ini terdapat 54 lot kedai yang menjual pelbagai jenis pakaian masih beroperasi di bazar itu dengan 40 lot sudah menamatkan operasi kerana tidak mampu bertahan.

Bagi seorang tukang jahit, Mohd. Redzuan Abd. Aziz, 31, pula, dia juga akan terus bertahan di situ bagi menyambung legasi perniagaan orang tuanya walaupun perniagaan sudah tidak serancak dahulu.

Mohd. Redzuan berkata, dia sukar untuk berpindah ke tempat baharu kerana di tapak niaga itulah orang tuanya memulakan perniagaan untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya sudah membantu bapa saya mengusahakan perniagaan ini ketika usia 10 tahun dan ba­nyak belajar selok-belok perniagaan di sini,” katanya.

Bagi musim perayaan tahun ini, Mohd. Redzuan berkata, dia menerima lebih 100 tempahan untuk baju kurung selain jahitan tudung dan jumlah itu di­sifatkan semakin berkurang saban tahun.