AHMAD YAKOB
AHMAD YAKOB

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, selain bantuan kewangan, pihaknya juga akan menghantar pasukan sukarelawan ke negeri tersebut.

Dalam masa sama, beliau juga menyeru semua pihak agar mengenepikan sentimen politik dengan bersama-bersama membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

“Pagi tadi saya menerima berita berkenaan keadaan banjir di Pulau Pinang yang semakin membimbangkan.

“Kita akan turut membantu mangsa-mangsa banjir dengan menghantar sukarelawan dan meluluskan sejumlah RM50,000 sebagai bantuan segera ke Pulau Pinang.

“Dalam situasi sebegini, saya menyeru semua pihak agar dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengenepikan sebarang sentimen politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Awal pagi ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  dalam kenyataan menerusi video secara langsung Facebook beliau berkata, kerajaan negeri pimpinannya terpaksa memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi  membantu pasukan penyelamat sedia ada yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan  mangsa banjir di negeri tersebut.

Guan Eng sebelum ini pernah mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu Pas sekali gus menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu juga mendakwa Kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan kerana tidak mempunyai wang untuk mentadbir.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas turut mengajak seluruh rakyat berdoa supaya keadaan banjir di Pulau Pinang beransur pulih.

“Bersabarlah di atas ujian Allah yang menguji rakyat di sana melalui  musibah banjir. Hanya dengan kuasa dan ketentuan Allah jua kita bermohon,” katanya. - UTUSAN ONLINE