Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, R. Meenakshi berkata, pelan cadangan itu perlu diteliti dan dikaji penduduk negeri ini untuk memastikan segala kebimbangan mereka berhubung kesan daripada projek berkenaan benar-benar diberi perhatian.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kesal bagaimana Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh meluluskan laporan impak alam sekitar (EIA) projek itu pada 10 November lalu dan mengarahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang mengemukakan pelan cadangan.

“Penduduk perlu tahu sama ada pelan cadangan itu kelak mengambil kira bencana tanah runtuh di Tanjung Bungah dan banjir besar 5 November lalu dan bagaimana tragedi ini dipastikan tidak berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan kebimbangan berhubung rancangan kerajaan negeri melaksana projek itu.

Kedua-dua NGO itu bimbang projek terbabit yang akan bermula Jun tahun depan bakal memberi kesan terhadap kesejahteraan penduduk yang tinggal berhampiran laluan terbabit yang disahkan tanpa perundingan awam.

Tiga projek jalan itu ialah Jalan Berkembar Tanjung Bungah-Teluk Bahang; Jalan Pintas Lebuh Raya Air Itam-Tun Dr. Lim Chong Eu dan Jalan Pintas Lebuh Raya Persiaran Gurney-Dr. Lim Chong Eu membabitkan laluan di kawasan kediaman, komersial, berbukit dan kepentingan umum.

Sementara itu, Meenakshi turut mempersoal sama ada Kerajaan DAP Pulau Pinang ataupun JAS menyedari salah satu projek lebuh raya yang menghubungkan Teluk Bahang dan Tanjung Bungah meliputi kawasan alam sekitar yang sensitif.

Katanya, sebanyak 46 peratus daripada lebuh raya itu bakal melibatkan kawasan lereng bukit yang kecerunannya melebihi 25 darjah sekali iaitu kawasan lereng bukit yang sensitif.

“Kita sudah mengemukakan rayuan kepada JAS untuk menolak EIA projek itu selain menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang mengadakan dialog bersama penduduk.

“Malangnya sehingga kini kedua-dua pihak berkenaan tidak memberi maklum balas dan ini semakin meningkatkan kebimbangan kami terhadap kesan daripada projek ini,” katanya.