Terbaharu, Pertubuhan Pe­lindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) pula menyertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mendesak supaya projek ber­kenaan dihentikan.

Presidennya, Puan Sri Sha­riffa Sabrina Syed Akil berkata, hutan di Bukit Bendera merupakan kawasan bersejarah dan wajar dilindungi daripada projek komersial.

SHARIFFA SABRINA SYED AKIL
SHARIFFA SABRINA SYED AKIL 

Beliau berkata, pihaknya bukan menentang sebarang bentuk pembangunan di negeri ini, namun kawasan hutan yang menempatkan pelbagai khazanah alam semula jadi negara tidak sewajarnya dikorbankan.

“Jangan bandingkan Pulau Pinang dengan Hong Kong untuk membina projek di lereng bukit kerana perbezaan geografi yang wujud,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, aktivis wa­risan negeri, Khoo Salma dan wakil Badan-badan Pemerhati Bukit Bendera, Rexy Prakash Chacko.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan kerajaan negeri berhasrat membina dua hotel di puncak Bukit Bendera dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi pelancongan popular berkenaan.

Menurutnya, pembinaan hotel seperti dicadangkan di situ tidak wajar kerana kawasannya kecil selain merupakan kawasan hijau tunggal di bahagian pulau.

“Pelancong boleh datang untuk nikmati keindahan di puncak bukit dan dalam masa sejam, mereka sudah mahu turun. Jadi, tiada keperluan untuk bermalam,” katanya.

Sementara itu, Rexy Prakash berkata, rekod tanah runtuh di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini ‘menakutkan’ terutama selepas bencana banjir besar dan tanah runtuh yang berlaku November tahun lepas.

“Sehingga kini, lebih 100 kejadian tanah runtuh berlaku. Jadi, apa jaminan kerajaan negeri berhubung kejadian berkenaan tidak berulang ke­rana dalam tempoh setahun, sebanyak 20 nyawa terkorban ketika kerja-kerja pembinaan di kawasan tanah tinggi di ne­geri ini dilakukan,” katanya.