S. M. MOHAMED IDRIS

Ini kerana, menurut Presidennya, S. M. Mohamed Idris, kerajaan negeri meluluskan lebih banyak kerja-kerja penebangan pokok dan penarahan bukit sepanjang jalan untuk pelbagai jenis projek pembangunan.

Sedangkan, kata beliau, apa yang sepatutnya dilakukan ketika ini adalah mengambil langkah pencegahan seperti melindungi tanah bukit dan menanam lebih banyak pokok untuk mencegah hakisan tanah dan larian air permukaan.

“Semua langkah pencegahan banjir terbukti tidak berkesan dan mencukupi jika kita tidak mena­ngani masalah banjir kilat dan ta­nah runtuh yang berpunca daripada peningkatan larian air permukaan akibat daripada penebangan pokok dan penarahan bukit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas bencana banjir kilat yang berlaku kelmarin yang disifatkan terburuk tahun ini selepas lebih 100 kawasan dan sebahagian besar negeri ini ditenggelami air.

Selain banyak kawasan diteng­gelami air, beberapa kejadian ta­nah runtuh dan banjir lumpur juga dilaporkan berlaku di Tanjung Bungah dan Paya Terubong yang mana terdapat kerja-kerja menarah bukit untuk projek pembangunan.

Menurut S. M. Mohamed, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menghentikan pembangunan yang salah sebaliknya perlu memastikan projek yang benar-benar mesra alam sekitar.

Dalam masa sama, kata beliau, usaha melindungi semua tanah bukit, menanam lebih banyak pokok dan memastikan pemba­ngunan lestari juga perlu dijadikan teras dalam rancangan kerajaan negeri.

“Kini tiba masanya untuk kita belajar daripada kesilapan dan mengambil langkah pembetulan segera serta melaksanakan pelan penyesuaian yang lebih sempurna,” katanya.