Patrick Ooi

Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi berkata, jawatankuasa yang sepatutnya diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus itu berperanan menjaga keselamatan penduduk berdasarkan laporan ramalan cuaca sebelum hari kejadian.

Menurut beliau, agensi yang terlibat perlu turun padang ke kawasan berisiko banjir untuk mengarahkan penduduk berpindah selain membantu golongan memerlukan seperti kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) ke tempat lebih selamat.

“Jawatankuasa banjir perlu mengumpul bekalan makanan untuk mangsa selain mencari dana bagi kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih rumah penduduk yang terjejas.

“Mereka juga menjadi kumpulan paling utama untuk membincangkan punca dan penyelesaian masalah tetapi di negeri ini kerja-kerja sedemikian dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, di mana pe­ranan kerajaan negeri?,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Pada 15 dan 21 September lalu, lebih 100 kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat yang disifatkan paling teruk sejak 10 tahun lalu selepas hujan berterusan selama empat jam selain ratusan penduduk dipindahkan dan berlaku kejadian tanah runtuh serta pokok tumbang di beberapa tempat.

Dalam masa sama, Patrick turut mempersoalkan kerajaan negeri yang dilihat gagal mena­ngani bencana alam itu meskipun peruntukan projek tebatan banjir telah disalurkan sejak mereka memerintah negeri ini.

Untuk itu, katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ekoran kepincangan kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir dan dilihat terus menjalankan projek pembangunan tidak terancang terutama di kawasan lereng bukit.

“Kita sedang mengumpulkan maklumat daripada penduduk yang terjejas akibat banjir termasuk mendapatkan laporan polis yang dibuat mereka sebelum menyerahkannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jika tiada maklum balas, tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya.

Dalam masa sama, pihaknya mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengadakan forum terbuka bersama PFP bagi membincangkan punca dan penyelesaian masalah rakyat selain mendedahkan peruntukan projek tebatan banjir yang telah disalurkan tetapi masih tertunggak.