Yan Lee

Penasihatnya, Yan Lee mendakwa, beliau mendapat maklumat berkenaan daripada pejabat Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi baru-baru ini dan semakan yang dibuat mendapati permohonan berkenaan telah dibuat pada 16 Mac lalu.

Dakwa Yan Lee, syarikat pemaju dari Korea Selatan itu difahamkan akan menjalankan projek pembinaan hospital swasta yang mempunyai 600 katil di samping sebuah hotel.

“Negeri ini dikenali kerana status bandar warisan dunia dan pelancong datang ke sini untuk melihat keunikan berkenaan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negeri dan menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, Ketua Menteri, Lim Guan Eng bukan anak jati Pulau Pinang dan beliau tidak berkongsi sentimen sama dengan rakyat negeri ini.

“Sesuatu yang menyedihkan apabila sebuah lagi banglo lama dalam kawasan tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal dirobohkan untuk projek swasta,” dakwanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sebelum ini, Chant turut mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah menjual tanah milik rakyat seluas kira-kira tiga hektar di Lebuh Raya Peel tanpa mengadakan hebahan awam.

Guan Eng kemudian mengakui perkara berkenaan dengan mengesahkan perjanjian tersebut dibuat dengan Island Hospital Sdn. Bhd. bagi pembinaan hospital swasta dengan tanah itu diberi pajakan jangka panjang dengan nilai RM156 juta.

Mengulas lanjut, Yan Lee mendakwa, pihaknya kini ‘memohon bantuan’ rakyat Korea Selatan untuk menyelamatkan banglo warisan berkenaan kerana syarikat pemaju itu dikenal pasti dari negara berkenaan.

“Di pihak kerajaan negeri pula, mereka langsung tidak mengadakan taklimat awam untuk memaklumkan perkembangannya,” dakwanya.

Dalam soal ini, Yan Lee berkata, seharusnya satu kajian sosial dilakukan sebelum projek berkenaan diluluskan termasuk kajian trafik dan sebagainya.