Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, ketika ini cadangan tersebut masih dalam peringkat perbincangan.

Hilmi yang juga penyandang kerusi Parlimen itu berkata, cadangan terbabit diusulkan bertujuan menarik lebih ramai pe­lancong ke Balik Pulau selain pertambahan jumlah penduduk di sini termasuk seluruh daerah Barat Daya yang kini mencecah 375,000 orang.

“Pelancong yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas untuk ke Georgetown juga boleh menjadikan Balik Pulau sebagai alternatif dengan adanya hotel tersebut nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah beliau, selain hotel, BN juga akan meneruskan projek pembinaan hospital daerah yang lebih besar serta beberapa projek lain termasuk projek jalan raya dan sebagainya.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan me­lancarkan Fiesta Sihat Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini.

Yang hadir sama Ketua Pe­ngarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah serta Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Fiesta yang dilaksana menggunakan pendekatan Strategi Laut­an Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu berteraskan perkhidmatan yang berpusatkan rakyat, menitik-be­ratkan pemikiran kreatif serta ge­rak kerja inovatif dalam memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu kerajaan kepada rakyat.

Hilmi berkata, melalui fiesta itu atau program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), pihaknya membawa pelbagai perkhidmatan kesihatan khas untuk rakyat di sini melalui beberapa agensi seperti Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik pergigian bergerak.

“Perkhidmatan lain yang disediakan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Ka­unter Wang Tidak Dituntut untuk kemudahan penduduk menyemak baki wang yang mungkin tidak dituntut di mana-mana institusi kewangan sebelum ini,” katanya.

Turut dilancarkan sempena fiesta itu ialah Minggu Imunisasi Sedunia peringkat kebangsaan, bahan untuk program Table Top iaitu satu inisiatif kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan serta Healomicopedia iaitu penyampaian mesej kesihatan menerusi penerbitan komik kesihatan.