YAN LEE

Penasihat Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, pada masa sama, mereka juga diminta agar mengawal kerja-kerja tarahan bukit untuk tujuan pembangunan yang dilihat semakin berleluasa dari sehari ke sehari.

Lee berkata, hasil pemerhatian pihaknya, terdapat sekurang-kurangnya enam lokasi yang mana kerja-kerja tarahan bukit itu giat dijalankan ketika ini.

Beliau berkata, antaranya termasuk projek yang dijalankan bertentangan Majestic Heights di Paya Terubong, projek berhampiran Mont Residence (Tanjung Tokong), Jalan Chan Siew Tong (Tanjung Bungah), Turf Club Pe­nang, Bukit Gambir dan Jalan Chan Siew Tong.

Katanya, turut menjadi persoalan ialah dinding struktur penahan pergerakan arus tanah runtuh di Taman Ratu, Tanjung Bungah yang dilihat gagal berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.

“Kesemua lokasi ini sangat bahaya dan berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh sekali lagi sekiranya hujan lebat turun tanpa henti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Lee, dalam hal ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya mengambil langkah lebih proaktif bagi membendung tragedi tanah runtuh daripada berulang.

Katanya, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kerajaan negeri memikirkan cara terbaik bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan.

“Ketika ini, cuaca semakin panas dan kering. Jadi, inilah masa yang terbaik (untuk kerja-kerja pembaikan). Takkan mereka (kerajaan negeri) mahu tunggu musim hujan baru hendak mula?

“Keselamatan rakyat Pulau Pinang sepatutnya menjadi keutamaan mereka berbanding perkara lain,” katanya.