LIZAWATI OTHMAN
LIZAWATI OTHMAN

Keadaan tanah kosong yang dipenuhi semak-samun serta menjadi tempat pembuangan sampah juga dipercayai menjadi punca babi hutan semakin kerap kelihatan di kawasan tersebut kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Lizawati Othman, 35 berkata, rumahnya hanya terletak 80 meter dari kawasan semak itu dan dia sering ternampak beberapa ekor babi hutan berkeliaran di kawasan tersebut.

“Kami bimbang haiwan itu menuju ke kawasan rumah yang pastinya membahayakan nyawa penduduk terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

“Tanah kosong ini milik persendirian tetapi dibiarkan kosong sejak sekian lama. Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu lebih memburukkan keadaan kerana ia menjadi makanan babi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penduduk, Bariah Shaari, 74, memberitahu, dia pernah beberapa kali terse­rempak dengan haiwan itu ketika melintasi kawasan semak terbabit untuk ke jalan utama ­kampung itu.

Jelasnya, biarpun tiada insiden babi menyerang penduduk, dia berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkannya daripada berlaku.

“Ramai yang tinggal di kawasan ini merupakan warga emas jadi kami bimbang kalau haiwan ini menyerang orang kampung. kami harap isu ini diatasi segera,” ujar­nya.

Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang mengarahkan Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap di kawasan tersebut.

Selain itu, menurut Mohamad Yusoff, perangkap monyet turut dipasang di kampung ber­kenaan bagi membanteras haiwan terbabit yang sering merosakkan rumah serta tanaman milik penduduk.

“Saya sudah bangkitkan per­kara ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Per­hilitan datang pasang perangkap babi dan monyet di kampung ini. Saya berharap usaha ini akan berhasil dalam mengatasi masalah ini,” katanya.

Mohamad Yusoff menambah, beliau turut meminta Pejabat Daerah Seberang Perai Utara untuk mengesan pemilik tanah kosong terbabit dan mengarahkannya supaya membersihkan kawasan berkenaan.