SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH menyampaikan sijil Anugerah Tokoh Srikandi Negara kepada Asma Ismail di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Asma, anugerah itu diharapkan dapat mendorong dan memberi semangat kepada setiap wanita untuk berani menonjolkan kemampuan mereka dan sentiasa melakukan sesuatu dengan komited.

“Golongan wanita boleh me­nyer­lahkan kemampuan lu­ar biasa mereka dalam apa jua perkara yang mereka lakukan mahupun ceburi, baik jika bekerjaya mahupun sebagai suri rumah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah Tokoh Srikandi Negara mengiktiraf jasa dan sumbangan golongan wanita terhadap pembangunan Malaysia dalam pelbagai lapangan dalam mahupun di luar negara, dianjurkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS).

Ini merupakan kali kedua ia dianjurkan selepas kali pertama pada 2014.

Majlis berprestij bergelar Ma­lam Semarak Perjuangan bersempena sambutan ulang tahun ke-70 GPMS itu dimeriahkan de­ngan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang juga antara pe­ngasas GPMS dan Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa.

Selain Asma, tokoh termasuk pengasas organisasi kemanusiaan Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood; pakar motivasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad dan ratu boling negara, Shalin Zulkifli turut mendapat pengiktirafan sama mengikut bidang ma­sing-masing.