Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, pihaknya kecewa kerana kerja-kerja pengorekan dasar laut dan tebus guna tanah itu seolah-olah bebas dilakukan tanpa sebarang pemantauan pihak berkuasa.

Malah, katanya, terdapat beberapa projek pengorekan laut turut dilakukan di kawasan berhampiran pantai.

“Sehubungan itu, kita menggesa penjelasan menyeluruh daripada pihak kerajaan ne­geri berhubung semua projek-projek tebus guna tanah dan pe­ngorekan dasar laut ini.

“Apa sebenarnya status semua projek itu sama ada telah diberi kelulusan atau diba­ngunkan secara haram,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah beliau, kehadiran kapal-kapal korek di kawasan yang berhampiran pantai turut membimbangkan kerana boleh menjejaskan kawasan pembiakan ikan khususnya di sekitar perairan selatan negeri ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya juga telah membuat laporan kepada beberapa agensi seper­ti Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Laut; Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (Maritim Malaysia) dan polis bagi menyiasat perkara tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, aktiviti yang dikesan sejak setahun lalu itu dilihat semakin meluas di beberapa lokasi seperti di sekitar Sungai Pinang Tanjung; Queensbay; Teluk Tempoyak; Teluk Kumbar dan Pulau Aman.

Menurutnya, aktiviti itu mengganggu kehidupan nelayan dan mendatangkan kesan pencemaran yang teruk di kawasan laut sehingga membuatkan nelayan dan pengusaha ikan sangkar berdepan kerugian besar.

“Banyak ikan mati kerana air laut menjadi kotor dan beracun apabila bercampur dengan selut yang tidak dibersihkan.

“Mengapa kami dijadikan mangsa dan menanggung kerugian sedangkan aktiviti ini bebas dilakukan pemaju yang bakal mengaut keuntungan berjuta- juta,” ujarnya.