Menurut jurucakap gerakan itu, Khoo Salma Nasution, gerakan itu merupakan kelangsungan usaha pihaknya dalam menyuntik kesedaran penduduk negeri ini berhubung ancaman dan risiko kemusnahan terhadap alam sekitar di sekeliling mereka.

Tambahnya yang juga aktivis warisan, risiko kemusnahan itu berikutan beberapa pelan pembangunan komersial yang dirancang kerajaan negeri seperti pakej pembinaan lebuh raya, transit aliran ringan (LRT) dan projek tambak laut.

Ujarnya, pelan-pelan pembangunan yang akan menyaksikan kemusnahan kawasan bukit, taman-taman awam, hutan paya bakau, pokok-pokok berusia ratusan tahun dan kehidupan marin negeri itu sangat membimbangkan penduduk.

“Masa depan penduduk Pulau Pinang sarat dengan ancaman alam sekitar buatan manusia.

“Sehubungan itu, kita mengajak seluruh warga negeri ini bersama-sama memberi tekanan kepada pihak berwajib untuk menilai semula pelan pembangunan negeri ini seterusnya menyelamatkan khazanah alam semula jadi yang sekian lama diwarisi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai beberapa aktivis lain dalam program kesedaran berkenaan ancaman kemusnahan alam sekitar itu di Taman Belia, di sini pagi ini.

Taman Belia yang menjadi salah satu lokasi utama kepada penduduk negeri ini untuk beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti rekreasi antara yang berdepan ancaman kemusnahan ekoran rancangan pembinaan lebuh raya.

Selain Taman Belia, turut berisiko musnah adalah Taman Jajar Sungai Ara serta beberapa kawasan bukit seperti Bukit Gambir dan Bukit Kukus yang menjadi antara laluan kepada pembinaan pakej lebuh raya.

Turut menjadi kebimbangan adalah rancangan pembinaan jalan Pulau Betong ke Teluk Bahang sejauh 10 kilometer (km) yang bakal melenyapkan hutan kayu bakau yang luas.

Sementara itu, aktivis Youth For Better Transport, Andrew Han turut mengajak orang ramai khususnya golongan belia memberi perhatian serius kepada kesan kemusnahan akibat pelan pembangunan infrastruktur mega yang dirancang kerajaan negeri.

Katanya, ketika rakyat diajak untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menghargai alam sekitar, dasar serta polisi kerajaan negeri pula dilihat bertentangan apabila meluluskan projek pembangunan yang akan menyebabkan kemusnahan khazanah alam. - UTUSAN ONLINE