Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, ketika ini nilai jualan yang dicatatkan oleh portal tersebut sejak dilancarkan kira-kira tiga tahun lalu mencecah RM3.05 juta.

“Saya percaya tidak mustahil kita mampu bergerak ke arah itu (menjadi seperti Lazada) kerana dengan lebih 11,000 produk yang ditawarkan dalam AgroBazaar Online, kita yakin lebih ramai pengguna akan beralih ke arah konsep urus niaga secara dalam talian ini kerana ia jauh lebih mudah dan menjimatkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Pasar Tani Bersih peringkat ne­geri yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail di Pasar Tani Balik Pulau di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Datuk Dr. Mat Sani Hassan.

Selain AgroBazaar Online, FAMA juga melancarkan Aplikasi Pasar Tani sejak Mac lalu dalam usaha menyalurkan le­bih banyak informasi berkaitan pasar tani serta produk yang ditawarkannya.

Dalam pada itu, Ishak berkata, enam lagi pasar tani akan diwujudkan di Pulau Pinang menjelang tahun depan berbanding hanya 16 sedia ada.

Menurutnya, tiga daripada lokasi pasar tani tersebut terletak di Kepala Batas iaitu berhampiran Masjid Seri Serdang, Vision Park dan Taman Bertam Putra manakala tiga lagi yang dikenal pasti ialah Teluk Kumbar, Sungai Dua (Butterworth) dan Seberang Perai Selatan.

“Kita berharap kewujudan pasar tani ini akan menjadi pemangkin kepada orang ramai khususnya penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan mudah.

“Hal demikian ini kerana sebahagian besar daripada produk yang dijual di pasar tani dibawa terus dari ladang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sehingga awal bulan ini sahaja seba­nyak 762 pasar tani dibuka di seluruh negara.