Pengarahnya Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, mereka bertanggungjawab sebagai ‘mata dan telinga’ pihaknya bagi memantau harga barangan sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang berkuat kuasa hari ini hingga 22 Jun ini.

Selain itu, menurutnya, pihak PPDNKK sendiri sentiasa memantau harga barangan di pasar dan pasar raya bagi menjalankan pe­nguatkuasaan sekiranya berlaku kenaikan harga barangan.

“Pada masa ini seramai 33,000 ahli FOK telah berdaftar di negeri ini yang akan membantu kami menjalankan pemantauan harga sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga barangan terutama sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga ini.

“Pada masa sama kita menggalakkan omnipresence atau kehadiran pegawai penguat kuasa PPDNKK negeri di kawasan ter­tentu yang menjalankan pengu­atkuasaan terhadap peniaga yang ingkar,” katanya selepas majlis pelancaran pelaksanaan skim kawalan harga itu di Pasar Raya Besar Mydin di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Sebanyak 19 barang kawalan ditetapkan pada tahun ini antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam, daging lembu tempatan, daging kerbau import, cili merah, tomato dan kubis bulat China.

Mohd. Ridzuan berkata, pi­haknya akan mengambil tinda­kan tegas terhadap peniaga yang ga­gal mematuhi peraturan di ba­wah skim kawalan harga itu melibatkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Sepanjang skim kawalan harga Tahun Baharu Cina tahun ini yang dijalankan dari 10 hingga 21 Februari lalu, sebanyak 23 kes diambil tindakan dengan kompaun sebanyak RM2,550.

“Sejak 1 Januari hingga 5 Jun lalu, sebanyak 15,895 pemeriksaan harga dijalankan secara menyeluruh di seluruh negeri dengan 118 kes telah diambil tindakan melibatkan kompaun sebanyak RM14,300,” katanya.