Namun, perniagaan itu tidak mendatangkan pulangan memberangsangkan menyebabkan dia terpaksa menebalkan muka memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

Mokhtar, 50, kemudiannya membuat permohonan dengan JKM Seberang Perai Selatan untuk mendapatkan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebelum diluluskan pada kadar RM300 sebulan.

Selain meniaga nasi campur, dia juga membuka gerai roti canai di pekan Junjong, Kedah di bawah 2 Years Exit Program (2YEP) JKM dan mula menikmati pendapatan lebih menyebabkan dia bertekad untuk menamatkan bantuan yang diterimanya.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menamatkan bantuan dan biarlah bantuan itu dinikmati oleh orang lain yang lebih memerlukan pula kerana syukurlah perniagaan saya makin berkembang.

“BKK itu adalah bantuan sementara kepada mereka yang memerlukan seperti saya dan apabila kita sudah mampu, kita tak perlu lagi bergantung kepada JKM malah kita pula membantu orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak yang berusia antara lima hingga 20 tahun itu berkata, dia kini me­rancang untuk memperluaskan perniagaannya dengan memohon mendapatkan gerai jualan yang tetap dan lebih selesa.

Ini kerana, katanya, pada masa ini, dia menumpang di tepi kedai milik peniaga lain dan kesulitan timbul sekiranya hari hujan ke­rana gerainya akan terkena tempias.

“Atas sebab itu saya ingin memohon untuk mendapatkan gerai yang lebih selesa daripada pihak Majlis Perbandaran Kulim, Kedah dan dapat mengisi kedai kosong yang ada di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Sabariah Yahaya, 42, dia amat bertuah apabila turut dipilih menyertai 2YEP selepas menjadi penerima bantuan JKM sejak 2013 sebanyak RM400 sebulan.

Ibu kepada enam anak itu yang menjalankan perusahaan membuat rempeyek dan biskut mula berhenti daripada menerima bantuan pada awal tahun ini selepas perniagaannya mula berkembang.

Sabariah berkata, dia bergiat dalam perusahaan rempeyek sejak 20 tahun lalu, namun terpaksa memohon bantuan JKM melalui BKK untuk membiayai persekolahan anak-anaknya.

“Kini hanya tiga anak saya iaitu pasangan kembar berusia 13 tahun serta anak bongsu berusia 11 tahun masih bersekolah, namun mereka menerima bantuan daripada kerajaan.

“Selain itu, saya juga mendapat bantuan beberapa agensi lain untuk menjalankan perusahaan ini selain membantu memasarkan produk rempeyek keluaran syarikat saya,” katanya yang menjalankan perusahaan itu dengan bantuan salah seorang anaknya.

Katanya, dia amat bertuah kerana dengan bantuan yang diterima JKM selain apabila terpilih menyertai 2YEP, dia mampu mengubah nasib keluarga.

Malah, katanya, anak-anaknya juga tidak malu untuk mengaku yang mereka pernah menerima bantuan JKM dan kini ibu mereka menjadi usahawan yang agak berjaya hasil bantuan jabatan itu.