Presiden XISU, Prof. Wang Junzhe berkata, program itu sebenarnya merupakan salah satu aktiviti yang dipersetujui kedua-dua pihak menerusi memorandum persefahaman (MoU) pada Mei 2018.

Menerusi MoU itu juga, kata beliau, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti pertukaran pensyarah dan pelajar, penyelidikan, aktiviti pendidikan dan latihan serta penerbitan bersama.

“Saya berharap kedatangan pelajar universiti kami akan mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua universiti dan kerjasama yang terjalin akan dapat melahirkan bakat yang unggul dalam pelbagai bidang,” katanya ketika mengetuai rombongan terdiri daripada pegawai utama dan pensyarah XISU ke USM, di sini baru-baru ini.

Rombongan itu adalah bertujuan melihat sendiri kemudahan dan suasana pembelajaran yang terdapat di USM.

Sementara itu, Penyelaras Properbm, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong berkata, penuntut XISU merupakan antara 27 penuntut dari tiga universiti di China yang julung kali ditawarkan mengikuti jurusan bahasa Melayu di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM bagi Sidang Akademik 2018/2019.

Universiti dari China lain yang sudah menjalin kerjasama dengan USM dalam pengembangan bahasa Melayu terma­suk Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Guangdong, Kolej Hainan dan Universiti Yunnan Minzu.