Hari ini, kira-kira 2,000 keluarga dari 10 kawasan Parlimen itu menerima bantuan berupa bantal dan tilam yang disampaikan ketua bahagian UMNO tersebut, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Mohd. Zaidi berkata, bantuan berkenaan merupakan kesinambungan daripada sumbangan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut diserahkan sebelum ini.

Menurutnya, antara penduduk menerima bantuan itu adalah dari kawasan Tanah Liat, Kubang Semang, Guar Jering, Kampung Terus, Permatang Rawa dan Kampung Belah Dua.

“Ini adalah sumbangan susulan selepas kita menyerahkan bantuan berbentuk makanan, tilam dan perkakasan dapur kepada lebih 4,300 keluarga yang menjadi mangsa di Parlimen ini sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan teruskan lagi pada masa depan dan kenal pasti lagi mangsa banjir yang ditimpa musibah, namun bantuan selepas ini akan menumpukan kepada mangsa kritikal,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pemuda UMNO Pematang Pauh, Abu Bakar Sidekh.

Berhubung ahli politik yang mempertikaikan logo UMNO dan gambar Perdana Menteri pada bungkusan bantuan berkenaan, Mohd. Zaidi berkata, tindakan itu bertujuan memberitahu rakyat yang mana Kerajaan Persekutuan sentiasa peka dan prihatin dengan kesusahan yang dihadapi mereka.

Malah, katanya, bantuan itu juga dipastikan supaya menyeluruh iaitu diterima semua penduduk yang menjadi mangsa, bukannya diberikan secara berpilih-pilih.