Kerana kepenatan dan mencari 'keselesaan', ada yang meniarap sambil menulis kembali apa yang diajar oleh guru di papan putih.

Itulah yang dihadapi saban minggu oleh 153 murid yang mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Masjid Rantau Panjang dekat Penaga di sini sejak mula dibuka hampir 30 tahun lalu.

Kelas yang diadakan setiap Rabu, Khamis dan Jumaat itu menggunakan segenap ruang yang ada di masjid itu termasuk pejabat, ruang solat tambahan serta dapur bagi menampung murid yang bertambah saban tahun.

Kebanyakan mereka meliputi murid tahun satu hingga lima datang dari Kampung Rantau Panjang sendiri selain kampung berhampiran seperti Pengkalan Bongor dan Kota Aur.

Menurut Pengetua KAFA An-Nur, Fauziah Ismail, keadaan itu memberikan suasana tidak selesa kepada murid-murid namun mereka sanggup berpanas dan berhimpit demi untuk mendapatkan ilmu.

“Kelas diasingkan mengikut umur dengan tahun satu diberi keistimewaan belajar di bawah khemah dengan kerusi dan meja namun tiada kipas disediakan.

“Murid tahun dua hingga lima bersesak-sesak di ruang solat tambahan, di dapur masjid, wakaf belakang masjid serta pejabat.

“Hampir 30 tahun kami di sini tanpa kemudahan yang selesa menyebabkan saya dan lima tenaga pengajar bagaikan 'alah bisa tegal biasa' malah terus berbakti mendidik anak bangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Fauziah, bilangan murid di situ pernah mencecah lebih 200 orang beberapa tahun lalu namun kini berkurangan selepas murid tahun enam tidak lagi diwajibkan mengikuti kelas KAFA.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana biarpun tanpa kemudahan yang selesa, 10 murid di situ berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Rosli Hamid berkata, pihaknya pernah memohon untuk mendapatkan bangunan kekal untuk menjalankan kelas KAFA di kampung itu namun tiada sebarang kata putus dicapai.

“Sebelum ini kelas terpaksa dibuat sehingga ke ruang solat masjid namun kami terpaksa menyusun semula kedudukan mereka dan memasang khemah di luar masjid bagi menampung bilangan murid yang bertambah.

“Saya berharap masalah ini akan berjaya diselesaikan segera bagi memberi keselesaan kepada kanak-kanak ini dan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk belajar,” ujarnya.