Bertempat di pasar raya Tesco Sungai Dua di sini, murid berkenaan dibawa membeli peralatan seperti pakai­an seragam, kasut, beg, alat tulis serta barangan keperluan berkaitan dengan nilai RM200 setiap seorang.

Pengurus Empire Project, Mohd. Ashraff Khan berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan pihaknya dalam meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

Menurut beliau, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan dan dana daripada Tesco untuk menjayakan projek itu selain turut dibantu kira-kira 30 ahli daripada lima NGO lain.

“Program kemasyarakatan sebegini sudah kita mulakan sejak empat tahun lalu di seluruh negara dan tahun ini kita memilih pelajar kurang berkemampuan di Pulau Pinang untuk dibantu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program itu di sini hari ini.

Antara NGO yang terlibat dalam program itu adalah Food Aid Foundation, Mutiara Prihatin, The Gagaks dan Ilman Crew yang turut dibantu kira-kira 90 sukarelawan daripada Politeknik Seberang Perai dan Kor Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, Penyelaras Mutiara Prihatin, Khairuni­shah Khasim berkata, pihak­nya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama de­ngan Empire Project dalam menjayakan program kemasyarakatan berkenaan.

Tambahnya, program itu sudah dirancang sejak Februari lalu dan pemilihan pelajar dari SKKB dibuat berdasarkan kedudukannya sebagai sekolah luar bandar dengan kebanyakan pelajarnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Rata-rata pelajar yang menerima bantuan hari ini datang dari keluarga petani dan pekebun kecil iaitu golongan miskin bandar.

“Kita berharap bantuan persekolahan serba baharu ini dapat menyuntik semangat mereka untuk ke sekolah sama seperti kanak-kanak yang lain,” katanya.