Mohd. Jidin Shafee

Tinjauan ke jeti Marang mendapati ribuan pengunjung terpaksa bersesak untuk menunggu bot ke Pulau Kapas sejak awal pagi tadi.

Seorang pelancong, Hasri Karim, 33, berkata, dia membuat tempahan chalet di Pulau Kapas dan bot sejak dua bulan lalu kerana tidak mahu kecewa seandainya gagal mendapatkan penginapan jika membuat tempahan di saat-saat akhir.

"Saya datang ke sini bersama kawan-kawan dan mahu melakukan banyak aktiviti seperti menyelam dan mencandat sotong kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini.

"Kebetulan, sekarang memang musim mencandat sotong, kami tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati sotong segar hasil tangkapan sendiri," katanya di sini hari ini.

Selain Pulau Kapas, turut menjadi tumpuan pelancong ialah Pulau Redang, Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil di Besut, Pulau Tenggol di Dungun dan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kedatangan ramai pelancong ke Pulau Kapas itu adalah hasil promosi berterusan yang diatur oleh kerajaan negeri selama ini.

"Promosi kepada pelancong domestik yang lebih terancang dan bersepadu mula menampakkan kesannya yang mana kita tidak hanya menumpukan kepada Pulau Redang sahaja tetapi juga diberi kepada Pulau Kapas dan Pulau Perhentian.

Ini hasil impak positif penganjuran Festival Candat Sotong Antarabangsa yang melibatkan 200 orang pengamal media dari dalam dan luar negara yang dibuat pada tahun lepas," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pelancongan Terengganu akan menganjurkan pesta candat sotong pada tahun ini iaitu pada 2 hingga 7 Jun dengan sasaran pengamal media ditambah kepada 30 buah negara. – BERNAMA