Kemudian pada 5 Disember lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui akaun Tweeternya memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berke­nan bahawa pulau itu akan diubah status menjadi tanah ke­sultanan.

Alasan keputusan tersebut adalah supaya pulau itu yang merupakan antara kawasan ta­nah lembab asli di Asia Tenggara akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya daripada Taman Negara bertukar kepada tanah milik kesultanan.

Bagaimanapun ujarnya, perubahan itu tidak mengubah status, polisi dan penggunaannya yang tetap menjadi status taman negara. Bagaimanapun perkembangan ini dilihat tidak meredakan kegusaran rakyat dan beberapa persoalan terus bermain-main dalam tempurung kepala.

Penulis agak terkejut dengan keputusan tersebut kerana Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) membelanjakan RM6 juta untuk menaik taraf beberapa tempat di pulau itu yang dilakukan sejak 2015 dan siap pada tahun lalu.

Istimewanya Pulau Kukup yang berkeluasan 1,147 hektar mempunyai tarikan antara lain 27 spesies bakau asli yang popular iaitu bakau kurap selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan.

Pulau Kukup, satu daripada dua buah pulau bakau tropikal yang tidak boleh didiami di dunia merupakan satu daripada tiga kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarbangsa (Ramsar) di negeri ini selain daripada Sungai Pulai Basin dan Tanjung Piai.

Melihat komen-komen netizen, ada terlalu emosional hingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Perlu diingat berhemah dalam memberikan pandangan kerana kita tidak mempunyai 'imuniti', jika tersilap komen boleh menjadi buruan pihak berkuasa.

Rakyat perlu bertenang ke­rana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lalu meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Disebabkan sudah ada usul DUN itu, MMK akan membincangkannya sama ada kekal bawah tanah kesultanan atau ada keputusan baharu. Status­nya sebagai Taman Negara kekal, begitu juga statusnya di bawah tanah kesultanan kekal yang dibuat mengikut Enakmen Ke­sultanan 1934.

Ramai yang tidak sedar bahawa hal berkaitan tanah, agama dan air adalah kuasa di peringkat negeri termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Ini termasuk status Pulau Kukup daripada milik kerajaan negeri menjadi tanah kesultanan.

Antara kelebihan menjadi tanah kesultanan ialah pulau itu yang berada dalam zon perairan antarabangsa akan lebih terjamin dan terus menjadi hak milik negara ini kerana kita tidak mahu insiden Pulau Batu Putih ber­ulang lagi.