Mohd. Halim Hasbullah

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, Mohd. Halim Hasbullah menegaskan, pihaknya sentiasa mengambil langkah ke­selamatan termasuk mematuhi segala prosedur ditetapkan bagi semua urusan di pejabat itu.

Dalam masa sama, katanya, PTG Johor juga memberi jaminan bahawa dokumen hak milik tanah Pendaftar yang disimpan di semua bilik kebal Pentadbiran Tanah Johor berada dalam kea­daan selamat daripada sebarang pencerobohan.

“PTG Johor sentiasa mengambil langkah bagi memastikan tahap keselamatan dokumen di Pentadbiran Tanah Johor kekal berada dalam keadaan baik dan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Pre­siden PAN, Salahuddin Ayub menuntut Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bagaimana pemantauan agensi di bawah portfolio beliau iaitu Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan dan Perancangan negeri dibuat.

Salahuddin turut menyifatkan kejadian kecurian dokumen itu satu tamparan hebat kepada pentadbiran Mohamed Khaled.

Mohd. Halim berkata, isu berkaitan keselamatan bilik kebal itu mendapat perhatian pelbagai pihak sejak polis membuat tangkapan terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat dalam urusan diragui berkaitan hartanah di negeri ini.

Katanya, berdasarkan laporan polis dibuat oleh pemilik tanah terlibat, pihaknya mendapati kes yang dimaksudkan adalah berkaitan pemalsuan dokumen dan terdapat unsur-unsur peni­puan melibatkan urus niaga tanah yang pada masa ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.