Sebagai pusat perubatan di negeri yang kaya dengan hasil pelancongan, PSHM turut berperanan menarik jumlah pesakit dari luar Melaka bagi merealisasikan usaha kerajaan negeri menggalakkan konsep pelancongan perubatan di negeri itu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR dan jurufoto AZLI AHAD, Timbalan Pengarah PSHM, Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap baru-baru ini berkongsi perancangan dan inisiatif diambil pihaknya bagi meneruskan usaha menjadi pusat perubatan terulung di Melaka.


UTUSAN MALAYSIA: Boleh Datuk jelaskan kekuatan Putra Specialist Hospital Melaka (PSHM) dari segi jumlah kakitangan, pakar perubatan dan kemudahan yang disediakan ?

Ismail Sagap: PSHM adalah hospital pakar swasta yang dimiliki oleh kerajaan negeri Melaka dan ia menyediakan perkhidmatan perubatan sebanyak 240 katil dengan kekuatan anggota lebih 650 kakitangan. Dua pertiga anggota terdiri daripada anggota perkhidmatan klinikal yang majoritinya adalah jururawat, ma­nakala selebihnya adalah ang­-
gota pengurusan hospital.

Di PSHM terdapat lebih 40 orang doktor pakar dan lapan orang pegawai perubatan. Di sini kami menyediakan perkhidmatan perubatan berpakar yang lengkap berserta perkhidmatan makmal perubatan, Wad ICU, Fisioterapi, Endoskopi, Radiologi, Haemodialisis dan sebagainya.

Setelah lebih 20 tahun berope­rasi, apakah sumbangan yang telah diberikan oleh hospital ini kepada rakyat Melaka dan pesa­kit dari luar?

PSHM telah berkembang dari­pada sebuah hospital pakar umum kepada Hospital Pakar Sub­kepakaran. Terdapat bebe­ra­pa perkhidmatan kepakaran yang lebih tinggi nilainya seperti Perkhidmatan Angiogram Coronary (Jantung) dan Pembedahan Jantung, Pembedahan Laparoskopi (Laparoscopic Surgery), Perkhidmatan Kecede­ra­an Sukan (Spots Medicine) dan Pembedahan Tulang Belakang (Spine Surgery).

Di samping itu kami juga terke­nal dengan kaedah fisioterapi terkini yang bakal dikembangkan lagi kepada fisioterapi khusus untuk pesakit angin ahmar dan lumpuh. PSHM juga menjalankan kerjasama dengan beberapa institusi kejururawatan tempatan dan Indonesia bagi melatih anggota dalam bidang kejururawatan. Ini adalah antara sumbangan PSHM terhadap rakyat. Selain itu, PSHM menyediakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan. Semakin hari saya melihat ramai anak tempatan yang berminat untuk berurusan dengan kami.

Apakah perkembangan terkini yang dilaksanakan PSHM dalam usaha menjadi pusat perubatan utama di Negeri Melaka?

Sememangnya kami berhasrat untuk menjadikan PSHM sebagai pilihan semua pelanggan. Untuk kekal relevan, kami berhasrat meningkatkan lagi mutu perkhid­matan klinikal kami dengan me­latih anggota ke tahap yang ter­tinggi.

Di samping itu, kami mahu memperkenalkan perkhidmatan perubatan canggih seperti pembentukan Pusat Rawatan Strok dan Jantung serta Pusat Perkhid­matan Cemerlang Gastrousus. Kami juga sedang dan akan terus mencari pakar-pakar yang mampu berkerjasama dengan kami bagi melaksanakan hasrat ini. Saya percaya semua ini boleh dicapai sedikit masa lagi.

Kerajaan negeri Melaka menggalakkan usaha pelbagai agensi di negeri ini untuk memajukan sektor pelancongan hospital atau Hospitality Tourism sebagai salah satu langkah menarik lebih ramai pelancong. Apakah sumbangan yang diberikan oleh PSHM dalam menyahut langkah kerajaan negeri ini?

Health tourism bukanlah asing 
bagi kami di PSHM. Bahkan kami telah berkecimpung dalam perkhidmatan ini sejak hampir 10 tahun. Kegiatan Health Tourism kami mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri dan kami menyasarkan kemasukan kira-kira 30 peratus kemasukan pelanggan Indonesia daripada jumlah keseluruhan pelanggan.

PSHM juga mempunyai pejabat urusan di Pekanbaru, Indonesia dan berhasrat membuka lebih banyak pejabat di Padang, Batam dan jika boleh di Jakarta. Baru-baru ini kami berjaya memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat insurans Indonesia untuk perkhidmatan ‘cashless payment’. Saya melihat perkembangan yang amat menggalakkan daripada sudut ini.


Apakah cabaran yang dihadapi oleh PSHM untuk terus kekal sebagai pusat perubatan utama di Melaka?

Perkhidmatan perubatan menjadi semakin canggih dengan penggunaan peralatan yang serba moden dan canggih. PSHM perlu berkembang selari dengan kehendak pelanggan yang saban hari memerlukan perkhidmatan terbaik dan terkini. Bagaimanapun ubat-ubatan dan peralatan moden semakin mahal. PSHM perlukan modal yang besar untuk ini. Kami juga terkekang dengan ruang yang agak sempit di tengah bandar raya Melaka. Untuk berkembang maju kami perlu ruang yang lebih besar
untuk keselesaan pelanggan.
Namun, untuk berpindah tempat operasi bukanlah mudah. Hospital yang ada sekarang ini amat strategik kedudukannya tetapi mempunyai tempat letak kenderaan yang agak terhad.

Kos rawatan yang semakin meningkat mungkin menjadi salah satu faktor untuk menggalakkan kehadiran pesakit di pusat rawatan swasta. Bagaimanakah pihak PSHM menangani situasi ini agar ia tidak membebankan pesakit namun pada masa yang sama dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat?

Jawapan kepada persoalan itu semestinya penyediaan kos rawatan yang kompetitif dan kualiti perkhidmatan yang terbaik. Di PSHM kami cuba menyediakan pakej-pakej rawatan yang mampu dibayar oleh pelanggan dan kunci utama kepada kualiti perkhidmatan ada pada slogan every1isVIP.

Akhir sekali apakah harapan Datuk dan perancangan PSHM untuk mengekalkan imej sebagai pusat rawatan terbaik di Melaka?

PSHM sudah membina nama sebagai pusat perubatan yang relevan di Melaka. Ia mempunyai potensi yang besar untuk lebih maju. Kita mahu melihat PSHM menjadi pusat perubatan tersohor di rantau Asia Tenggara.