Pengerusi Pahang Bike Week 2016, Tengku Asraf Tengku Ashmawi berkata, sebanyak 39 kelab motosikal di seluruh negeri ini hadir menjayakan promosi tersebut.

“Kami cukup gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminat motosikal terhadap program ini. Pahang Bike Week anjuran Tourism negeri yang bakal diadakan di Taman Gelora November ini merupakan antara pendekatan untuk mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

“Kita mengalu-alukan dan menjemput semua peminat serta penunggang motosikal di seluruh negara berkampung di negeri ini bagi memeriahkan Pahang Bike Week 2016,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Yang hadir sama Penyelaras Pahang Bike Week 2016, Datuk Asri Abdul Rahman.

Menurut Tengku Asraf, penyertaan peserta dari Singapura, Indonesia dan Thailand bakal meme­riahkan lagi Pahang Bike Week 2016 yang bermula 4 November ini.

“Pelbagai program menarik di­susun sepanjang tiga hari karnival berkenaan seperti slot ceramah agama, sukan pantai, pameran jualan dan jamuan rakyat yang dilakukan secara gotong royong,” ujarnya.

Sementara itu, Asri berkata, pihaknya menyasarkan lebih 5,000 penunggang motosikal akan berkampung di negeri ini pada karnival berkenaan yang mana mereka turut dibawa ke beberapa destinasi pelancongan di sekitar daerah ini.