Najmuddin Abdullah

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, kerja-kerja pembinaan adalah seperti dirancang dan mengikut bajet yang ditetapkan.

Katanya, semua kerja pembinaan awam bagi stesen bertingkat, landasan bertingkat dan seksyen landasan berjejambat sudah pun siap dibina.

“Kerja pembinaan stesen sedang giat dilaksanakan dan hampir siap di bahagian utara dan selatan. Kerja-kerja untuk pintu masuk dan pemasangan jejambat berhubung antara jalan dan fasiliti di stesen juga dalam proses pembinaan.

“Bagi fasa satu dari Sungai Buloh ke Semantan dijangka beroperasi pada Di­sember ini mengikut jadual manakala bagi fasa dua iaitu antara Semantan dan Kajang akan bero­perasi pada Julai 2017,” katanya dalam majlis berbuka puasa MRT Corp bersama media semalam.

Sementara itu, Najmuddin berkata, kesemua 24 kereta api untuk operasi fasa satu telah pun dihantar ke Depot Sungai Buloh dan sedang menjalani ujian bagi laluan bahagian fasa terbabit.

Bagi projek laluan kedua MRT untuk laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), beliau memberitahu, pembinaan akan dimulakan akhir bulan ini iaitu membabitkan kerja-kerja pembersihan kawasan.

“Sehingga kini, 18 pakej kerja telah pun dianugerahkan dan selebihnya bakal ditawarkan kemudian. Laluan SSP juga akan beroperasi dalam dua peringkat iaitu fasa pertama pada Disember 2021 dan fasa kedua pada Julai 2022,” ujarnya.