Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, ternakan ikan itu merupakan sebahagian daripada program Rimbunan Kasih bagi menyokong menyokong aktiviti pertanian bernilai tinggi yang dijangka akan mula dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan.

Ketika ini menurut beliau, sebanyak 1,500 sangkar sudah siap dibina di pesisiran pantai untuk diuji ketahanan sebelum digunakan sebagai pusat ternakan ikan.

“Menerusi program ini kerajaan negeri akan mengenal pasti seramai mungkin nelayan miskin tegar yang masih bertenaga untuk mengusahaka tanaman ikan dalam sangkar dan mereka akan bekerjasama dengan pengusaha ternakan dan dibekalkan dengan modal dan benih ikan.

“Selepas memperoleh hasilnya kelak ia akan dibahagi sama rata antara pengusaha dan nelayan tersebut dan ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pendapatan nelayan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan kunci rumah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk Murad Husin dan Ketua Penolong Setiausaha Cawangan Kemiskinan Bandar di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Adi Azlan Ahmad Othman.

Pada majlis itu, Ismail men­yampaikan kunci rumah yang baharu dibina dengan kos sebanyak RM40,000 menerusi program itu dan mempunyai kemudahan tiga bilik kepada ibu tunggal, Baizura Osman yang mempunyai empat orang anak berusia antara 8 hingga 16 tahun.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri kawasan Kuala Linggi berkata, langkah mewujudkan program ternakan ikan sangkar itu dibuat bagi menukar kerjaya nelayan laut yang mempunyai pendapatan tidak tetap kepada nelayan pantai atau sungai supaya kehidupan mereka lebih terjamin.

Program ternakan itu merupakan sebahagian daripada projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) di bawah Jabatan Perikanan iaitu pengezonan kawasan perairan yang dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan dengan projek akuakultur berskala komersial mengikut Dasar Pertanian Negara Ketiga.

Selain itu kata Ismail, projek tersebut akan menyediakan beberapa peluang kerja sampingan atau sektor hiliran apabila terdapat pekerjaan untuk jahitan jaring, penyediaan palet ikan dan sebagainya kepada nelayan terlibat.

“Ketika ini projek tersebut sudah dimulakan sejak Januari lalu iaitu penyusunan pelampung dan kesemua palet itu sedang diuji ketahanannya dan jika sesuai dan mampu terapung, ternakan ikan itu akan bermula sepenuhnya mulai tahun depan,” katanya.