Usaha dilakukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor itu dimulakan bulan ini hingga Mei ini dalam usaha memahirkan 3M dan melahirkan minat anak-anak Orang Asli untuk ke sekolah.

Pengarah programnya, Aiman Fitry Khairul Annuar berkata, pihaknya melihat pengu­kuhan ketiga-tiga kemahiran asas itu amat penting supaya murid berkenaan tidak tercicir.

“Program Educate Orang Asli 2017 ini dilaksanakan secara home tutor serta fun learning dan sudah berjaya menambat hati 30 pelajar Orang Asli berumur antara tujuh hingga 12 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang.

“Peserta didedahkan de­ngan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan terdapat modul-modul tambahan de­ngan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Jakoa, UiTM dan Pejabat Daerah Segamat” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Educate Orang Asli 2017 dan Program Kesedaran Keselamatan dan Menangani Bencana yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim di Kampung Ulu Juasseh, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Segamat, Mohd. Yazid Beram; Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Segamat, Umi Nazira Shahidan dan Ketua Balai Polis Labis, Inspektor Chan Kok Chuan.

Aiman Fitry berkata, peserta juga dilengkapi fail peribadi mengandungi latihan intensif untuk meningkatkan penguasaan 3M berdasarkan silibus yang sesuai dan berkesan hasil rujukan daripada guru-guru tadika dan darjah satu di SK Felda Tenang.

Beliau mengharapkan kerjasama ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menghadiri program intensif itu kerana secara tidak langsung merupakan satu motivasi kepda murid terlibat.

Selain itu katanya, program itu juga merupakan satu platform untuk mahasiswa melibatkan diri dan menyumbang bakti kepada anak-anak Orang Asli bagi meningkatkan tahap kemahiran 3M.

Sementara itu, Mohd. Azahar berkata, program itu membuktikan masyarakat Orang Asli di daerah ini tidak pernah diabaikan malah mereka diberi peluang menimba pelbagai ilmu kehidupan merangkumi pendidikan, keselamatan, kesihatan dan kekeluargaan.

“Saya yakin usaha UiTM Johor ini mampu menangani masalah keciciran pembelajaran dalam kalangan anak-anak Orang Asli dan pada masa sama memupuk minat mereka terhadap pendidikan,” katanya.