Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, beras berkenaan yang dikeluarkan hasil kerjasama PPNS dengan Era D Mansion Sdn. Bhd., boleh dibeli di semua 14 Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) dengan harga lebih murah berbanding jenama lain.

“Beras super special tempatan lima peratus hancur kapasiti 10 kilogram dijual pada harga RM24.50 lebih murah berbanding harga pasaran RM26 manakala beras mayang super special import lima peratus hancur dijual RM29.70 berbanding harga pasaran RM34.

“Dengan penjimatan ini, diharap ia dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban orang ramai yang ketika ini terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pemasaran beras tersebut di sini .

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli; Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Selangor, Nor Faizah Omar; Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Selangor, Ahmad Fuad Zakaria dan Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Selangor, Abdul Razak Kasbollah.

Zainal berkata, pemilihan PPHL sebagai pusat jualan bertujuan mengaktifkan aktiviti pemasaran produk pertanian di pusat berkenaan, di samping menarik orang ramai untuk mendapatkan produk peladang yang segar, berkualiti serta dijual pada harga rendah.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihak­nya menyasarkan sekurang-kurangnya 40 buah sekolah di seluruh Selangor menubuhkan Kebab Pertanian Sekolah dan Kor Tani sehingga akhir tahun ini.

“Penubuhan kelab ini pen­ting sebagai pendedahan awal buat golongan muda kepada aktiviti pertanian yang menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya diusahakan dengan betul dan mengikut amalan pertanian baik,” katanya.