Ahli Lembaga Pengarah LPP, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, pada masa ini pencapaian PPK pada tahap sederhana kerana hanya sebuah bersatus A manakala 13 buah berstatus B dan sebuah berstatus C.


“Namun begitu saya yakin hasil kerja kuat pihak pengurusan dan ahli, separuh dari PPK  yang bersatus B akan dinaikkan kepada status A, manakala status PPK pada tahap C akan dinaikan kepada B pada awal tahun depan, manakala bakinya pada pertengahan tahun yang sama.


“Ini kerana kesemua PKK berkenaan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk dalam pengurusan dan kewangan dengan peningkakgan keuntungan dalam perniagaan  serta perkhidmatan kepada ahli,’’katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Inovasi LPP Terengganu 2017 di Primula Beach Hotel di sini, semalam.


Yang turut hadir Pengarah LPP negeri, Abdul Mubin Abdul Razak dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman.


Rosli berkata,  setiap tahun, semua PPK akan dinilai oleh LPP negeri dan LPP Pusat dari segi prestasi pengurusan, kewangan (keuntungan)  dan perkhidmatan kepada ahli untuk meletakkan gred atau satus yang terbaik kepada PPK.


“Dengan cara ini PPK dapat bersaing dengan cara yang sihat bagi melaksanakan urus tadbir yang baik di samping perniagaan yang dijalankan memberi keuntungan dan ahli mendapat manfaat.


“Pada masa ini PPK Gerai di Besut dikategori sebagai gred A kerana dapat menjalankan projek tanaman padi dan pemasaran yang amat berkesan dengan memoperoleh keuntungan yang sentiasa meningkat,” ujarnya.


Selain itu beliau juga berharap petani muda dapat berdaftar dalam agropreneur muda melalui Kementerian Pertanian kerana banyak kemudahan yang disediakan melalui program berkenaan.


Sementara itu, enam kategori inovasi dipertandingkan termasuk Inovasi Pengurusan Perniagaan Berpotensi yang dimenangi oleh PPK Kuala Terengganu dan PKK Kuala Berang.


Kategori Inovasi Pengurusan Projek Ternakan dimenangi oleh PP Negeri Terengganu manakala Inovasi Projek Tanaman dimenangi oleh PPK Pelagat dan PPK Gerai.


PPK Kemaman (Inovasi Kerja dan Tadbir Urus), PP Negeri Terengganu (Inovasi Sistem Penyampaian 10 Perkhidmatan Terbaik) dan PPK Kuala Berang (Inovasi Pengurusan ICT).


Semua hadiah kepada pemenang dalam bentuk sijil dan wang tunai disampaikan oleh Rosli.-UTUSAN ONLINE